Sekilas
- Ezzaty Abdullah kini aktif membahagikan masa antara lakonan dan perniagaan tepung kek segera yang diusahakan secara buatan tangan dari rumah.
- Dalam setahun, jualan tepung keknya melebihi 18,000 pek dengan pengeluaran maksimum 400 pek sehari, dan perniagaan ini berkembang selepas dia menerima permintaan dari luar kawasan melalui siaran langsung di media sosial.
- Ezzaty masih belum mengambil pekerja kerana bimbang resepi akan dicuri dan persaingan dalam bidang ini masih rendah.
Pelakon, Ezzaty Abdullah berkongsi bahawa dirinya kini aktif membahagikan masa antara dunia lakonan dan perniagaan yang diusahakan dari rumah.
Menurutnya, perniagaan yang diusahakan secara buatan tangan itu kini mencecah tiga angka pengeluaran.
“Saya sibuk bulan ini sebab anak masih menyusu. Tapi bila nak raya, memang lebih sibuk dengan tempahan. Saya juga ada jual tepung kek segera untuk perniagaan.
“Saya jual satu perisa tetapi boleh hasilkan pelbagai jenis kek dan memang menjadi. Dalam tempoh setahun, jualan sudah melebihi 18,000 pek dan semuanya dibuat secara homebased. Paling banyak pernah hasilkan 400 pek sehari, itu pun rasa nak pengsan,” katanya kepada Gempak.
Ezzaty berkata demikian ketika ditemui pada sesi lawatan penggambaran iklan raya anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di Kuala Lumpur.
Dalam masa sama, Ezzaty turut berkongsi bahawa idea menghasilkan tepung kek segera tercetus selepas dia sering membuat siaran langsung menjual kek di media sosial.
Ketika siaran langsung tersebut dia menerima permintaan yang datang dari lokasi jauh membuatkannya berfikir panjang kerana bimbang kek tidak mampu bertahan lama ketika penghantaran.
"Dulu saya buat live jual kek, bila ada permintaan luar kawasan, dari situ saya terfikir untuk hasilkan tepung pula," ujarnya.
Ditanya mengenai jumlah pekerja, Ezzaty memaklumkan dia masih belum bersedia mengambil staf kerana bimbang resepi yang diusahakan akan ditiru.
“Saya masih baru, jadi belum ada pekerja sebab takut orang curi resepi. Persaingan pun tak banyak," tambahnya.