"Terkejut, berdebar bila nampak pelajar lelaki itu masuk ke kelas kami dengan memegang pisau."
Itu perkongsian seorang pelajar Tingkatan Satu sebuah sekolah menengah di Bandar Utama di sini semasa menceritakan detik mencemaskan kejadian kes tikam yang berlaku pada Selasa.
Advertisement
Pelajar enggan dikenali itu berkata, terdapat kesan darah di pisau, tangan dan baju pelajar terbabit.
"Dia (suspek) masuk sekejap saja. Masuk dan tunjuk pisau, tapi tak acu dan ugut kami yang lain. Lepas itu dia keluar semula... waktu itu kami rasa berdebar-debar.
"Saya tidak mengenali dia. Setahu saya dia ini seorang yang pendiam," katanya ketika ditemui selepas sesi persekolahan pada Selasa.
Sementara itu, seorang lagi pelajar berkata, dia terdengar suara jeritan pelajar perempuan di tandas aras bawah dari kelasnya di tingkat tiga sebelum melihat seorang pelajar berlari turun ke bawah.
"Saya lihat ada budak lelaki berlari seperti mahu turun ke bawah (dipercayai untuk membantu). Pada mulanya saya ingatkan ada pelajar kena marah dengan cikgu atau ada kejadian lain.
"Sebelum itu juga saya ada nampak budak lelaki (dipercayai suspek) memegang senjata pisau," katanya.
Terdahulu, seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun maut ditikam pelajar lelaki berusia 14 tahun dalam kejadian di kawasan tandas perempuan di sekolah berkenaan kira-kira 9.10 pagi.
Sumber: Sinar Harian