Usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri meluahkan rasa kecewa selepas menerima laporan bahawa dia disaman oleh bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.
Menurut Aliff, dia amat memandang tinggi Abdul Kadir dan tidak menyangka selama mencari rezeki halal, dia akhirnya dibalas dengan perbuatan sedemikian.
"Saya terkejut dengan apa yang berlaku kerana selama saya cari duit rezeki yang halal, ini balasan yang saya dapat.
"Saya menggagumi dan menghormati Abdul Kadir sebagai orang yang lebih berusia dan bekas ahli politik," katanya kepada Gempak.
Bagaimanapun, Aliff berkata dia tidak akan goyah dengan saman tersebut dan terus memilih untuk berjuang demi menuntut hutang dari bekas Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu itu
"Namun, jika ini takdir yang saya perlu lalui, saya akan terus berjuang. Berani kerana benar dan saya reda," ujarnya.
Terdahulu, Abdul Kadir memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa bahawa, dakwaan fitnah dibuat ahli perniagaan, Datuk Seri Aliff Syukri Kamaruzaman menggambarkannya sebagai samseng Hollywood, ‘kaki botol’ dan ‘kaki perempuan’.
Aliff Syukri selaku defendan didakwa menyunting gambarnya, duduk di sebelah seorang penyanyi terkenal malah memaparkan segelas arak, dalam Anugerah Perniagaan Terbaik Malaysia yang dihadiri pada 23 Julai 2023.
Abdul Kadir turut menafikan dakwaan dia berhutang dengan Aliff sebaliknya menggangap ia adalah pelaburan projek mega.