Sekilas
- Sherry Al Hadad berkongsi pengalamannya bertemu dengan 'Abang Jagung' yang terkenal di TikTok ketika berada di Istanbul atas urusan kerja.
- Sherry memuji sikap peramah dan baik hati 'Abang Jagung' yang juga menghargai sokongan peminat dari Malaysia.
- Sherry tidak memilih jodoh berdasarkan negara asal, sebaliknya lebih penting pasangan yang menghargai dirinya dan orang terdekat.
Pengacara dan pelakon, Sherry Al Hadad berkongsi pengalamannya berjumpa dengan 'Abang Jagung' ketika berada di Istanbul.
Sherry yang ke Istanbul atas urusan kerja itu mengakui bahawa pada awalnya, dia tidak mengenali lelaki itu namun nekad mencarinya selepas menerima cadangan daripada orang ramai.
"Sebenarnya saya tak tahu kewujudan abang jagung. Apabila saya sampai di Istanbul, ramai yang mencadangkan saya untuk mencari dia sebab dia sangat terkenal di TikTok. Apabila saya lihat dia di media sosial, saya terpegun dengan ketampanannya.
"Saya ke sana untuk pengambaraan dan selepas tamat sahaja kami bergegas ke tempat berkenaan. Kami jumpa lokasi lelaki berkenaan melalui TikTok tag," katanya kepada Gempak.
Sherry berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Wisma Dherb’s di Kota Damansara, Selangor pada Sabtu.
Dalam masa sama, Sherry turut memuji perwatakan lelaki tersebut yang disifatkan sebagai peramah dan baik hati, meskipun dia tidak pasti tentang status sebenar 'Abang Jagung'.
"Dia sangat peramah, mungkin sebab dia sedar dia terkenal. Jadi, dia tahu bagaimana untuk melayani pelanggan dan peminatnya. Apabila saya cakap saya berasal dari Malaysia, dia tahu ramai peminat dari negara kita.
"Dia juga berterima kasih atas segala sokongan yang diberikan. Dia sangat baik. Bukan kita sahaja yang nak bergambar, orang luar negara pun mahu. Saya rasa dia single tetapi saya pun tak pasti," ujarnya.
Dalam pada itu, Sherry akui tidak memilih jodoh berdasarkan negara kelahiran asalkan pasangan tersebut menghargai dirinya dan orang terdekat.
"Saya tidak menolak jodoh dari luar negara tetapi mereka tak pandang saya langsung. Saya tiada spesifik ciri-ciri bakal suami berasal dari mana. Siapa yang sesuai dengan saya dan baik dengan keluarga dan kawan-kawan, saya akan terima sahaja," tambahnya.