Skip to main content

Bisnes

Thailand Tarik Balik Produk 'Inhaler' Herba Popular, Dikesan Mengandungi Bakteria Berbahaya

Thailand Tarik Balik Produk Inhaler Herba Popular, Dikesan Mengandungi Bakteria

Sebuah produk alat sedut atau inhaler herba popular dari Thailand, Hong Thai Herbal Inhaler Formula 2, telah ditarik balik dari pasaran selepas gagal ujian keselamatan yang dijalankan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat Thailand (Thai FDA), yang mendapati kehadiran bakteria berbahaya melebihi paras dibenarkan.

Menurut kenyataan Thai FDA, kelompok bernombor 000332 yang dikeluarkan pada 9 Dis 2024 dan tamat tempoh pada 8 Dis 2027, mengandungi tahap mikroorganisma aerobik, yis, kulat serta bakteria Clostridium spp yang melebihi piawaian keselamatan.

Advertisement

Susulan itu, pengeluar produk, Thai Herbal Hong Thai Ltd, mengumumkan penarikan balik sebanyak 200,000 unit daripada kelompok terjejas, dan berikrar untuk melaksanakan kawalan kualiti yang lebih ketat, termasuk penggunaan pensterilan UV dalam proses pengeluaran akan datang.

“Kami mengakui keputusan pemeriksaan pihak berkuasa dan mengambil tanggungjawab penuh terhadap isu ini.

"Langkah-langkah penambahbaikan sedang dilaksanakan bagi memastikan keselamatan pengguna,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Sementara itu, tinjauan media mendapati produk tersebut masih ditawarkan di beberapa platform e-dagang Malaysia, dengan pelbagai variasi dan harga antara RM5 hingga RM15 seunit.

Pihak berkuasa kesihatan Malaysia setakat ini belum mengeluarkan kenyataan rasmi, namun pengguna dinasihatkan agar menyemak nombor kelompok sebelum membeli atau menggunakan produk tersebut, dan melaporkan sebarang kesan sampingan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sumber: AWANI

Vicks

Kalau yang "itu" tak selamat, Vicks kan ada untuk segarkan nafas dalam sekelip mata.

Must-Watch Video

Advertisement