Skip to main content

Selebriti

Tidak Tertekan Dibandingkan Konsert Lain, Ella Hanya Fokus Persiapan - "Mereka Sendiri Mampu Menilai"

Ella banding

Sekilas

  • Ella tidak rasa tertekan menjelang konsert Majlis Tertinggi RockQueen di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 14 Februari, sebaliknya berasa lebih bersemangat.
  • Dia memilih untuk fokus pada persiapan konsert dan tidak mengambil peduli kritikan atau perbandingan dari netizen.
  • Konsert tersebut turut menampilkan Amir Masdi, Sam Bunkface, Tam Spider dan The Boys, dengan tiket sudah terjual 90 peratus sejak 8 Disember lalu.

Ratu Rock, Ella meluahkan rasa teruja menantikan konsert Majlis Tertinggi RockQueen Ella yang dijadual berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 14 Februari depan.

Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin berkata, dia tidak berasa tertekan meskipun konsert berkenaan berpotensi dibandingkan dengan penganjuran konsert berskala besar yang lain.

Sebaliknya, dia menganggap perkara itu sebagai pembakar semangat untuk terus melangkah ke hadapan.

“Saya tiada tekanan sebenarnya. Perkara ini sebenarnya lebih memberi semangat untuk saya terus melangkah ke hadapan. Saya ambil semua itu secara positif dan rasa lebih teruja serta bersemangat.

“Kawan-kawan juga banyak memberi dorongan. Insya-Allah. Tapi, seperti yang kita semua sedia maklum, netizen memang suka memberikan pelbagai komen.

“Saya rasa biarlah, kerana mereka sendiri mampu menilai. Komen-komen itu pun tidak akan berterusan sampai bila-bila. Apa yang baik kita ambil sebagai pengajaran, yang tidak baik kita ketepikan,” katanya kepada Gempak.

Ella berkata demikian ketika ditemui di majlis makan tengah hari bersama Ella dan pengumuman artis jemputan untuk konsert berkenaan di Cili Kampung, Sunway Pyramid, hari ini.

Dalam pada itu, pelantun lagu Rama-Rama itu turut menegaskan bahawa dia tidak mahu memberi tumpuan terhadap kritikan atau perbandingan, sebaliknya hanya memberi fokus sepenuhnya terhadap persiapan konsert.

“Setakat ini, saya tak ada sebarang respons. Kalau sesuatu itu tidak memberi semangat atau manfaat, lebih baik kita biarkan sahaja.

“Tekanan yang saya rasakan pula hanyalah untuk memastikan persiapan benar-benar rapi. Itulah tekanan saya, untuk bersedia sepenuhnya dan menjayakan misi ini, seterusnya mencipta satu sejarah, insya-Allah,” katanya.

Selain Ella, bintang lain yang bakal memeriahkan konsert tersebut ialah Amir Masdi, Sam Bunkface, Tam Spider dan kumpulan The Boys (Ella & The Boys).

Dianjurkan oleh Hitman Solutions dan Rockqueen, tiket konsert berkenaan kini sudah terjual sebanyak 90 peratus sejak mula dibuka pada 8 Disember lalu.

Topik Berkaitan

Must-Watch Video

Advertisement