Sekilas
- Tiket Konsert 3DIVA Live in Malaysia 2026 [TIMELESS] dijual dengan harga promosi ‘Early Bird’ serendah RM138 melalui MAISEAT sehingga 19 September atau stok habis.
- Konsert ini meraikan legasi 20 tahun Kris Dayanti, Ruth Sahanaya dan Titi DJ dengan tema ‘Three Voices. One Legacy.’ di Unifi Arena, Kuala Lumpur pada 22 November.
- Pakej tiket termasuk kategori biasa hingga SVIP dengan harga RM238 hingga RM1,098 serta pakej VIP ‘Semua Jadi Satu’ yang menawarkan pengalaman eksklusif bersama 3DIVA.
Peminat Kris Dayanti, Ruth Sahanaya dan Titi DJ berpeluang mendapatkan tiket Konsert 3DIVA Live in Malaysia 2026 [TIMELESS] dengan harga promosi ‘Early Bird’ serendah RM138.
Jualan tiket akan dibuka menerusi MAISEAT pada pukul 12 tengah hari, manakala promosi berkenaan berlangsung sehingga 19 September atau selagi stok masih ada.
Promosi ‘Early Bird’ menawarkan penjimatan RM100 bagi kategori CAT 1 hingga CAT 5 dengan harga bermula RM138 sehingga RM598.

Pengarah Urusan T-Rex Studio Sdn. Bhd., Audrey Wan Yuen Theng berkata, TIMELESS dirancang bukan sekadar sebuah konsert, sebaliknya meraikan perjalanan dan legasi 3DIVA yang sudah bertahan selama dua dekad.
“Kris Dayanti, Ruth Sahanaya dan Titi DJ mempunyai hubungan cukup istimewa dengan peminat di Malaysia. Lagu-lagu mereka telah menemani kita selama bertahun-tahun dan masih terus didengari sehingga hari ini.
“Dengan TIMELESS, kami mahu peminat bukan sahaja datang menyaksikan konsert tetapi kembali menikmati memori, lagu dan perjalanan tiga figura yang menjadi sebahagian daripada sejarah muzik serantau,” katanya.
Selain tiket biasa, penganjur turut menawarkan pakej ‘Semua Jadi Satu’ dengan harga RM798 setiap tiket VIP bagi pembelian minimum empat tiket.

Kategori premium pula menawarkan pengalaman lebih dekat bersama 3DIVA termasuk sesi ‘Hi-Bye’, ‘Sound Check’, sesi fotografi serta ‘After Party’ mengikut kategori tiket.
Keseluruhan tiket ditawarkan dalam tujuh kategori bermula CAT 5 pada harga RM238 sehingga SVIP berharga RM1,098, tidak termasuk yuran tempahan.
Konsert bertemakan ‘Three Voices. One Legacy.’ itu bakal berlangsung di Unifi Arena, Kuala Lumpur pada 22 November depan, sekali gus meraikan ulang tahun ke-20 perjalanan 3DIVA sejak disatukan pada 2006.