Sekilas
- Pelakon Evertts Gomes menegur orang ramai supaya mengeja nama keluarganya dengan betul tanpa menggantikan huruf S dengan Z.
- Evertts menjelaskan nama penuhnya mempunyai dua huruf T dan berharap agar nama keluarganya dihormati dengan ejaan yang tepat.
- Drama KUDRAT 1968: High Council yang menampilkan Evertts sebagai Tunku Ghafar sudah mula ditayangkan sejak 11 September lalu.
Pelakon drama KUDRAT 1968: High Council, Evertts Gomes memberi teguran terbuka kepada individu yang kerap melakukan kesalahan ejaan pada nama keluarganya.
Menerusi perkongsian di Instagram Story, Evertts atau nama penuhnya Evertts McClane Gomes, 28 itu berkata namanya mempunyai huruf S dan bukanlah Z.
Malah, dia juga memiliki huruf T sebanyak dua kali pada ejaan namanya iaitu Evertts.
“Nama saya Evertts Gomes. Nama saya tiada huruf Z. Nama saya ada dua huruf T. Nama Gomes itu adalah nama keluarga atau surname,”tulisnya.
Evertts yang memegang watak sebagai Tunku Ghafar menerusi naskhah tersebut turut mengakui tidak kisah jika ada individu yang tersalah eja namanya.
Bagaimanapun, dia berharap agar ejaan nama keluarganya dieja tanpa sebarang kesalahan.
“Salah eja nama berkali-kali itu tidak mengapa tetapi tolong hormat nama keluarga saya. Tolong eja betul-betul,”jelasnya.

Sekadar info, KUDRAT 1968 merupakan prekuel kepada dunia High Council yang membawa penonton menelusuri permulaan sistem hierarki rahsia dalam kalangan pelajar, sekali gus menjadi titik awal kepada kisah yang diperkenalkan menerusi siri Projek: High Council dan filem Kahar: Kapla High Council.
Selain Evertts, naskah arahan Zulaikha Zakaria bersama Khairi Asyraff itu dibintangi Mierul Aiman, Zarif Ghazzi, Dai Fuad, Chech Harith, Akmal Asyraf dan ramai lagi.
KUDRAT 1968: High Council sudah mula menemui peminat pada 11 September.