Sekilas
- Pelakon Sharnaaz Ahmad menegur pempengaruh yang sering menghasilkan kandungan 'takut bini' kerana ia boleh beri kesan negatif kepada pasangan yang sudah berkahwin.
- Sharnaaz menegaskan wanita perlu dihormati, bukan ditakuti, dan kandungan sebegitu boleh mempengaruhi realiti rumah tangga sehingga menyebabkan perceraian.
- Beliau juga menyifatkan pencipta kandungan tersebut bukan lelaki sebenar, sebaliknya hanya mencari keuntungan dengan memalukan diri sendiri.
Sebagai seorang yang lebih berusia dan pernah berkahwin, pelakon Sharnaaz Ahmad tampil memberi teguran terbuka kepada pempengaruh atau pencipta kandungan yang sering menghasilkan kandungan 'takut bini'.
Shaarnaz menjelaskan bahawa dia memahami perubahan zaman yang semakin memberi tumpuan kepada pencipta kandungan, malah dia akui turut terhibur dengan kandungan yang dihasilkan.
Bagaimanapun, terdapat kandungan yang tidak wajar dijadikan bahan hiburan.
"Perkara ini mungkin ada kaitan dan mungkin juga tiada kaitan dengan aku. Aku tak marah tetapi ini hanya sekadar teguran.
"Aku faham sekarang kita di zaman 'influencer', aku sendiri terhibur. Aku cuma nak tegur orang yang buat konten 'takut bini," katanya.
Pelakon filem Jebat itu berpendapat kandungan tersebut boleh memberi kesan negatif terhadap mereka yang sudah mendirikan rumah tangga.
"Kau tak sedar yang konten itu memberi kesan kepada mereka yang telah berkahwin. Kau akan terbawa ke dunia nyata. Kebiasaannya, orang yang buat konten seperti itu akhirnya akan bercerai," tulisnya.
Dalam masa sama, Sharnaaz menegaskan bahawa wanita seharusnya dihormati, bukannya ditakuti.
"Wanita merupakan watak yang penting, kita hormati perempuan bukan takuti mereka. Ini nasihat dari orang yang lebih berusia dan pernah bercerai.
"Bila terlajak buat, wanita yang kurang ajar dengan suami itu akhirnya telah terlambat untuk selamatkan perkahwinan," ujarnya.
Sharnaaz turut berkata bahawa mereka yang menghasilkan kandungan seperti itu bukanlah lelaki yang sebenar sebaliknya hanya memalukan diri sendiri demi meraih keuntungan.
"Kau sebenarnya bukan lelaki tetapi kau hanya cari duit dan ingin memalukan diri sendiri," jelasnya.