Sekilas
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan pengebumian Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali diberikan taraf Istiadat Pengebumian Pembesar Negara.
- Ketua Setiausaha Negara dan Panglima Angkatan Tentera diarahkan membantu pengurusan istiadat pengebumian Allahyarhamah.
- Anwar menzahirkan rasa dukacita dan ucapan takziah atas pemergian Siti Hasmah yang meninggal dunia di Institut Jantung Negara pada usia 100 tahun.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan urusan pengebumian Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali diberikan taraf Istiadat Pengebumian Pembesar Negara.
Dalam kenyataan hari ini, Anwar berkata, Ketua Setiausaha Negara dan Panglima Angkatan Tentera telah diarahkan membantu pengurusan istiadat pengebumian Allahyarhamah.
“Saya telah mengarahkan Ketua Setiausaha Negara dan Panglima Angkatan Tentera untuk membantu pengurusan dan memberikan taraf Istiadat Pengebumian Pembesar Negara kepada Almarhumah,” katanya.
Pada masa sama, Anwar bagi pihak kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia menzahirkan rasa dukacita serta ucapan takziah atas pemergian Siti Hasmah yang menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN), pagi tadi.
Menurutnya, negara akan terus mengenang sosok keibuan Allahyarhamah selain menghargai segala jasa dan sumbangannya.
“Ingatan dan doa saya bersama Tun Dr Mahathir Mohamad serta seluruh keluarga dalam menghadapi kehilangan ini.
“Semoga Allah SWT mengampunkan segala dosa Almarhumah, menerima segala amal baktinya dan menempatkannya dalam kalangan orang beriman,” katanya.
Siti Hasmah meninggal dunia pada usia 100 tahun selepas menghembuskan nafas terakhir di IJN, pagi ini.