Sekilas
- Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk rawatan berkala akibat keletihan selepas kehilangan isteri tercinta, Tun Dr Hasmah Mohamad Ali.
- Dr Hasmah meninggal dunia pada usia 100 tahun dan dikebumikan dengan penghormatan Istiadat Pengebumian Pembesar Negara di Pusara Negara, Putrajaya.
- Allahyarham Dr Hasmah dikenali sebagai antara wanita Melayu terawal bergelar doktor perubatan dan banyak berjasa dalam bidang kesihatan awam negara.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) semalam bagi menjalani rawatan berkala.
Setiausaha Akhbarnya, Sufi Yusoff, berkata bekas Perdana Menteri itu keletihan kerana tidak cukup tidur selepas kehilangan isteri tercinta Allahyarham Tun Dr Hasmah Mohamad Ali, Isnin lalu.
"Beliau keletihan dengan segala turun naik emosi, cuaca panas dan tidak cukup rehat. Semua itu bukan gabungan yang baik untuk seseorang berusia 101 tahun," katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, Dr Mahathir dilaporkan dimasukkan ke IJN.
Isnin lalu, Dr Hasmah, meninggal dunia di IJN pada usia 100 tahun dan meninggalkan tujuh anak.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya.
Pengebumian Allahyarham diberi penghormatan menerusi Istiadat Pengebumian Pembesar Negara.
Allahyarham Dr Hasmah adalah antara wanita Melayu terawal yang bergelar doktor perubatan sebelum mencurahkan khidmat dalam bidang kesihatan awam negara.
Dilahirkan di Kampung Jawa, Klang, Selangor, pada 1926, beliau melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di King Edward VII College of Medicine, Singapura, menerusi biasiswa kerajaan dan satu-satunya pelajar wanita Melayu dalam kumpulannya.
Di situlah beliau bertemu Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum mereka berkahwin pada 1956.
Beliau bukan sahaja dikenali sebagai pendamping setia Dr Mahathir, malah turut meninggalkan jasa besar menerusi pelbagai usaha memperkasakan kesihatan ibu, kanak-kanak dan kesejahteraan masyarakat.
Sumber: Berita Harian