Peguam, Tun Laila tampil mempertahankan dirinya setelah mendapat kecaman hebat dari netizen berhubung kes yang tular baru-baru ini melibatkan pempengaruh Sharina Richie dan pelakon Aaron Aziz.
Menerusi perkongsian di laman Tiktoknya, dia menegaskan bahawa dia tidak memerlukan kebenaran dari mana-mana pihak untuk mewakili kes mahkamah mahupun mendapatkan perhatian dari orang ramai.
Advertisement
"Kalau orang tu tak ada masalah dia tak cari peguam. Peguam tak perlu dapatkan kebenaran netizen dulu untuk mewakili sesiapa. Klien saya memang orang yang salah. Saya tak guna kes klien saya untuk dapatkan 'engagement' media sosial semata-mata.
"Kalau nak sangat publisiti, setiap kali dapat kes saya akan buat video. Kalau peguam dapat klien yang dikenali ramai, memang netizen akan kritik. Banyak je kes di bawah saya tapi saya tak viralkan pun untuk jaga maruah mereka," katanya.
Tun Laila juga menolak untuk meminta maaf kepada netizen kerana dia hanya menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang peguam.
"Saya tak rasa saya perlu minta maaf sebab saya cuma jalankan tanggungjawab saya. Banyak je kes-kes seperti kes pukul, kes kematian dan lain lain. Tapi kes itu tidak diwar-warkan pada orang ramai demi menjaga maruah mereka. Sangatlah tidak profesional untuk saya bercerita kes yang tidak selesai lagi kecuali jika melibatkan kes yang menjatuhkan reputasi dan saman fitnah," ujarnya.
Dalam masa saya, anak kelahiran Sarawak itu turut menjelaskan bahawa walaupun ada kes sivil yang jelas tampak salah namun ada juga terselit perkara-perkara kecil yang boleh dibawa ke mahkamah.
Tun Laila menasihati orang ramai agar tidak terlalu mencampuri urusan orang lain, terutamanya melibatkan hal perundangan.
"Kalau untuk kes sivil, tidak semestinya sesiapa yang memulakan kes, dia betul. Semua yang dilihat di media sosial itu kadang-kadang memang nampak salah tetapi ada juga perkara-perkara kecil yang sebenarnya salah di sisi undang-undang.
"Orang terlalu sibuk masuk campur dalam urusan orang lain walaupun mereka tak kenal pun orang tersebut. Kita tak patut buat macam tu. korang punya komen tu lebih lagi daripada orang-orang yang tahu pasal fakta kes tu. Kalau korang nak peguam yang mencari publisiti dan validasi orang ramai, itu bukan saya," jelasnya
Sebelum ini, Tun Laila turut mencuri perhatian ramai apabila tampil mewakili Sharina dalam isu hangat melibatkan Aaron.
Untuk rekod, Sharina telah bertindak memfailkan saman berjumlah RM2 juta terhadap anak kepada Aaron, Dwi Ariana, selepas mendakwa permohonan maafnya diperlekeh dan dijadikan bahan untuk membuli dirinya.