Berita
Turun Dari 'Langit' AME2018, Mas Idayu Cerita Detik-Detik Mendebarkan
Memukau penonton dengan persembahan finale Anugerah MeleTOP Era (AME2018) Ahad lalu, Mas Idayu berkongsi cerita sebenar yang berlaku sepanjang persembahan itu.
Kata Mas Idayu atau lebih popular disapa Mummy, idea untuk turun dari 'langit' pentas AME2018 bukan datang daripadanya.
“Tak...Mummy tak minta pun turun dari atas. Semua itu adalah idea produser yang memberi kepercayaan kepada Mummy.
“Mummy tanya betul ke nak Mummy buat persembahan penutup begitu? Jawapnya mereka mahu serta yakin. Mereka kata Mummy boleh buat jadi happening.
“Satu tanggungjawab yang berat dan Mummy terima. Terima kasih kerana terus mempercayai Mummy,” katanya kepada Sinar Harian.
Akui Mas Idayu, dia tidak rasa gayat ketika berada di aras tinggi itu.
“Mereka selubungkan Mummy supaya orang tak perasan ketika Mummy nak naik masa tu.
“Tak tahulah penonton di stadium perasan atau tak? Tapi tamat sahaja persembahan Mummy rasa lega.
“Mummy betul-betul tak sangka dan sangat terharu apabila peminat-peminat di Malaysia dan juga di Indonesia mengucapkan tahniah kepada Mummy kerana terhibur," tambahnya.
Pada penutup AME2018, Mas Idayu mempersembahkan medley lagu hitsnya, Selangit, Robek Cintaku 100% dan Senggol-Senggolan Cubit-Cubitan hingga mendapat standing ovation daripada audiens di Axiata Arena Bukit Jalil.
Olahan oleh: Amri Hassan
Sumber: Sinar Harian
Must-Watch Video