Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yakin dan akui anak saudaranya, Umairah memiliki potensi besar yang bukan sahaja di Malaysia, malah di pentas antarabangsa.
Menurut Siti, salah satu kelebihan Umairah adalah kebolehannya bertutur dalam Bahasa Mandarin yang mampu membuka ruang untuk menembusi pasaran baharu.
Advertisement
"Umairah boleh berbahasa Mandarin. Peluang sangat luas.
"Mungkin impian saya yang tak tercapai untuk pergi ke pasaran China selepas memenangi Shanghai disebabkan saya mendirikan rumah tangga itu boleh direalisasikan oleh Umairah.
"Kini saya mahu mencari ruang dan peluang itu untuk Umairah, cuma dia perlu banyakkan bersabar, rajin, perbaiki kekurangan, banyakkan berkomunikasi serta memiliki jati diri yang kuat," katanya.
Dalam masa sama, pelantun lagu Menamakanmu Cinta itu turut menitipkan pesanan buat Umairah agar tidak sesekali lupa untuk menghargai bakat yang diberikan Allah, selain menitikberatkan pelajaran.
"Umairah ada masa depan yang sangat cerah perjalanan yang masih jauh. Memang dilahirkan untuk menghiburkan orang.
"Namun, dalam masa yang sama jangan abaikan pelajaran kerana dia juga mempunyai masa depan yang cerah dalam bidang akademik," ujarnya.
Sekadar info, Umairah menggunakan kesempatan cuti sekolah untuk melancarkan single terbarunya berjudul Sayap.
Lagu tersebut hasil ciptaan Resa Husin dan Farouk Rahman mengangkat kisah cinta penuh harapan namun tidak kesampaian.
Sayap kini boleh didengari di semua platform digital, manakala muzik video arahan Rifaiee Omar dari Rio Films Production boleh ditonton menerusi saluran YouTube Universal Music Malaysia.