Usahawan dan personaliti media sosial, Umisya Mazlan berkongsi momen manis apabila suaminya, Aslam membuat kejutan dengan menghadiahkan sejambak bunga bersama beberapa beg berbeza warna.
Menerusi perkongsian di Thread, Umisya meluahkan rasa terharu dan gembira dengan kejutan itu, selain menyatakan rasa syukur atas setiap pemberian Aslam.
Advertisement
"Terima kasih untuk usahamu. Bersyukur atas segala perkara kecil, besar dan segalanya. Suka semua warna beg," tulis Umisya.
Dalam video sama, Aslam dilihat menulis nota untuk diselitkan pada bunga sebelum meletakkannya di hadapan pintu rumah. Kemudian, dia mengajak Umisya ke kereta bagi mendedahkan kejutan seterusnya iaitu barisan beg di bonet kereta.
Menurut Aslam, kejutan itu dilakukan sebagai tanda penghargaan buat isterinya yang sentiasa kuat dan tidak pernah mengeluh walaupun penat bekerja serta menguruskan keluarga.
"Setiap hari saya tengok awak kuat walaupun penat kerja, jaga rumah, tidur pun tak lena tapi awak tetap tersenyum dan jadi tiang keluarga. Kesian tengok awak tapi awak masih ingat orang lain sebelum diri sendiri.
"Hari ini saya amik kesempatan untuk kongsi rezeki perkara kecil tapi insyaAllah sangat ikhlas dari sudut hati saya.
"Saya nak rasa awak dihargai macam mana sayang hargai semua orang. Mungkin pemberian ini tidak boleh membalas jasa awak tapi saya cuba yang terbaik untuk bahagiakan sayang. Setiap warna beg ini adalah simbol penat lelah untuk jadikan kehidupan lebih berwarna," kata Aslam.
Aslam turut berterima kasih kepada isterinya itu kerana sentiasa menjadi pasangan terbaik dalam segala hal.
"Terima kasih awak selalu jadi kawan, isteri dan ibu terbaik. Semoga Allah menjaga hubungan kita hingga ke hujung nyawa. Semoga Allah jaga sayang untuk saya sampai ke syurga," ujarnya lagi.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen terharu melihat kebahagiaan mereka berdua dan tidak putus mendoakan agar rumah tangga pasangan ini kekal harmoni.
"Nangis akak tengok adik, bahagia selalu ya.
"Semoga bahagia sampai ke Jannah.
"Comelnya bahagian hujung tu.
"Awak nampak bahagia siap lompat-lompat. Comel lah Umisya. Semoga perkahwinan awak kekal hingga ke Jannah dan semoga keluarga awak diberkati serta dirahmati," komen netizen.
Sekadar rekod, Umisya merupakan isteri pertama Aslam.
Pada 27 Disember 2023, Aslam turut sah bergelar suami kepada anak selebriti, Norman Hakim dan Abby Abadi iaitu Marissa Dania Hakim, dalam majlis yang berlangsung di Songkhla, Thailand.