Sekilas
- Ummi Nazeera mengakui watak penyondol dalam drama Saat Aku Tahu memberi kesan mendalam dari segi mental dan fizikal sehingga memerlukan rehat tiga minggu selepas penggambaran.
- Dia menerima watak tersebut untuk memenuhi permintaan peminat yang mahu melihat sisi berbeza dirinya dan mengambil rujukan daripada pengalaman rakan-rakan penyondol sebenar.
- Drama psikologi romantik ini mula ditayangkan pada 6 November di platform Viu dengan barisan pelakon termasuk Hisyam, Anna Jobling, dan Datuk Eizlan Yusof.
Pelakon Ummi Nazeera, yang membawa watak Maira dalam drama Saat Aku Tahu, mengakui watak penyondol yang dimainkan memberi kesan mendalam dari segi mental dan fizikal.
Ummi atau nama penuhnya Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abidin berkata, dia terpaksa berehat selama tiga minggu sebaik sahaja penggambaran selesai bagi memulihkan kembali emosinya.
"Ini adalah kali pertama saya bawa watak penyondol. Cerita ini memang watak yang paling mencabar integriti saya. Saya kena percaya yang watak saya ini betul. Watak ini sangat kacau mental dan fizikal saya sampai saya betul-betul drain.
"Saya sampai terpaksa break selama tiga minggu. Tapi saya sangat berpuas hati dengan lakonan saya," katanya kepada Gempak.
Ummi berkongsi perkara tersebut ketika menghadiri program MeleTOP di Bukit Jalil pada Selasa.
Jelasnya, walaupun watak tersebut berat, dia tidak mahu emosi negatif terbawa pulang ke rumah kerana enggan memberi kesan kepada keluarga.
"Kalau saya balik rumah, saya memang tak layan sangat perasaan itu sebab saya ada keluarga, kecuali pada satu hari tu saya terlalu shaking, seram sejuk dan tak boleh tidur," ujarnya.
Ummi turut mendedahkan bahawa dia menerima watak itu kerana mahu memenuhi permintaan peminat yang ingin melihat sisi berbeza dirinya.
"Saya bawa watak ini demi peminat sebab mereka tak mahu lihat saya disakiti. Mereka nak saya menyakiti orang pula. Mereka juga samakan watak jahat saya 15 tahun lepas, iaitu Siti Sarah dalam Nur Kasih. Peminat sangat gembira dan menyukai," jelasnya.
Katanya, dia turut mengambil rujukan daripada pengalaman rakan-rakan bagi memahami karakter ‘penyondol’ secara lebih mendalam.
"Saya ada ambil reference ‘menyondol’ dalam real life daripada kawan-kawan dari segi body language, bagaimana mereka bertindak. Dan saya rasa, majoriti mereka buat begitu kerana mahukan validasi," tambahnya.
Untuk info, ‘Saat Aku Tahu’ adalah sebuah drama psikologi romantik tentang kepercayaan, kekecewaan dan dendam dalam hubungan.
Drama ini menemui penonton pada 6 November, siri 15 episod tersebut akan ditayangkan di platform Viu pada setiap hari Khamis dan Jumaat.
Selain Ummi dan Hisyam, drama ini juga membariskan pelakon-pelakon hebat lain antaranya, Anna Jobling, Luqman Hafidz, Datuk Eizlan Yusof dan Quinneyra Alyssha.