Pendakwah bebas, Ustaz Wadi Annuar dilaporkan terlibat dalam kemalangan di Gerik, Perak bersama beberapa orang kakitangannya.
Perkara tersebut dimaklumkan menerusi satu kenyataan di akaun rasmi Wadi Annuar.
"Dukacita dimaklumkan bahawa Ustaz Wadi Annuar bersama beberapa orang staf telah terlibat dalam kemalangan di Gerik, Perak. Doakan semoga Allah SWT melindungi mereka, diberikan kesembuhan serta dipermudah segala urusan," tulisnya.
Pihak berkenaan juga memohon agar orang ramai memberikan ruang kepada pendakwah itu untuk berehat dan memaklumkan beliau masih belum menerima kunjungan ziarah buat sementara waktu.
“Kami memohon jasa baik semua agar memberi ruang kepadanya untuk berehat. Buat sementara waktu, beliau belum menerima kunjungan ziarah.
“Terima kasih atas doa dan keprihatinan semua,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menzahirkan doa buat Ustaz Wadi Annuar.
Menerusi perkongsiannya, Anwar berharap agar segala urusan rawatan pendakwah itu dipermudahkan.
"Mendoakan Ustaz Wadi Annuar dikurniakan kesembuhan selepas terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan ke Gerik awal pagi tadi.
"Moga Allah SWT mempermudah segala urusan rawatan serta mengurniakan ketabahan dan kekuatan buat Ustaz dalam menempuh ujian ini.
"Semoga Ustaz segera pulih dan kembali berbakti menyampaikan ilmu serta dakwah kepada masyarakat," katanya dalam satu kenyataan.