Sekilas
- Seorang wanita di Jepun ditahan selepas didakwa menjahit bibir rakan serumahnya sehingga mangsa tidak mampu makan atau bercakap.
- Mangsa berjaya melarikan diri keesokan harinya dan mendapatkan bantuan dengan menyerahkan nota 'Tolong saya' kepada pekerja kedai berhampiran.
- Siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti motif kejadian dan hubungan sebenar antara kedua-dua wanita serta penghuni lain di rumah tersebut.
Seorang wanita di Jepun ditahan selepas didakwa menjahit bibir rakan serumahnya sehingga mangsa tidak mampu makan mahupun bercakap akibat kecederaan yang dialami.
Masae Sakurai, 49, yang bekerja sambilan, diberkas polis pada Isnin di bandar Koga, wilayah Ibaraki, timur laut Tokyo kerana disyaki menyerang wanita berusia 42 tahun. Manhsa yang diserang tinggal serumah dengannya.
Menurut polis, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 1.30 tengah hari pada 29 Jun lalu apabila Sakurai didakwa menggunakan jarum dan benang untuk menjahit bibir mangsa.
Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak mendedahkan sama ada suspek mengaku atau menafikan tuduhan tersebut. Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian serta hubungan sebenar antara kedua-dua wanita itu.
Kronologi kes mendedahkan mangsa dilaporkan berjaya melarikan diri pada kira-kira jam 1.30 tengah hari keesokan harinya ketika Sakurai tiada di rumah. Dengan memakai pelitup muka berwarna putih bagi menutupi kecederaan di wajahnya, mangsa berlari ke sebuah kedai berhampiran sebelum menyerahkan sekeping nota bertulis "Tolong saya" kepada pekerja premis kerana tidak mampu bercakap. Pekerja terbabit kemudian segera menghubungi polis.
Mangsa kemudian memaklumkan kepada polis dia terlalu takut dengan Sakurai sehingga tidak berani melarikan diri lebih awal.
"Saya takut dengan Sakurai, sebab itu saya tidak dapat melarikan diri dengan segera," katanya seperti dilaporkan The Independent.
Siasatan mendapati kedua-dua wanita itu tinggal bersama di kediaman Sakurai sejak sekitar April 2025. Polis turut memaklumkan beberapa individu lain juga dipercayai menetap di rumah berkenaan ketika kejadian berlaku dan mereka kini sedang disoal siasat bagi membantu siasatan.
Pihak berkuasa juga tidak menolak kemungkinan ada penghuni lain yang berada di lokasi semasa insiden itu berlaku. Menurut beberapa kenalan Sakurai yang ditemu bual media tempatan, wanita itu dikatakan sering membuka pintu rumahnya kepada individu yang melarikan diri dari kediaman masing-masing serta membantu mereka mendapatkan pekerjaan.
Keadaan itu dipercayai menyebabkan beberapa orang pernah tinggal di rumah berkenaan pada masa yang berbeza.
FOTO: AFP/GETTY