Skip to main content

Berita

Wanita Naik Ke Pentas, Cuba Ganggu Sambutan Hari Kebangsaan Ditahan

Wanita cuba ganggu sambutan Hari Kebangsaan

Polis sedang menyiasat satu insiden membabitkan seorang wanita yang menaiki pentas utama ketika acara sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak, pagi tadi.

Kejadian jam 8.20 pagi ketika lagu kebesaran negeri Perak sedang berkumandang.

Advertisement

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin, berkata suspek masuk melalui bahagian tepi pentas dan mendekati Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah sebelum ditahan oleh anggota keselamatan yang bertugas.

Suspek adalah seorang wanita tempatan berusia 41 tahun telah ditahan di lokasi kejadian dan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, wanita itu ditahan di lokasi kejadian dan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut dengan ujian air kencing ke atasnya mendapati dia negatif dadah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 325/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan menyebabkan cedera parah.

Semakan awal mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah selain turut mempunyai rekod rawatan psikiatri dan sedang berada di bawah pengawasan pakar. 
"Polis menasihatkan orang ramai supaya menghormati majlis rasmi kenegaraan dan tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh mengganggu ketenteraman awam serta keselamatan," katanya.

Terdahulu, sambutan Hari Kebangsaan peringkat Perak di perkarangan Dewan Bandaran Ipoh, berlangsung dengan meriah dalam suasana penuh warna warni.

Selain Sultan Nazrin, turut berkenan berangkat ke sambutan itu adalah Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.

Berangkat sama adalah dua anaknda Sultan Nazrin dan Tunku Zara iaitu Raja Kecil Besar, Raja Azlan Muzzaffar Shah dan Raja Nazira Safya Raja Nazrin Shah.

Sambutan itu turut dihadiri kenamaan pentadbiran kerajaan negeri termasuk Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan barisan EXCO kerajaan negeri.

Sambutan kali ini berlangsung dengan jaya sehingga keberangkatan semua kenamaan daripada sambutan itu sekitar 10.30 pagi apabila dianggarkan ribuan masyarakat berbilang kaum menunjukkan semangat patriotik dengan membanjiri sambutan itu.

Sebanyak 111 kontinjen membabitkan bilangan peserta seramai 5,891 menyertai perarakan serta perbarisan sambutan kemerdekaan negara kali ke-68 itu. 

Sumber: BERITA HARIAN

Must-Watch Video