Sekilas
- Seorang suri rumah OKU, Nor Ainon Omar, ditemui maut dengan kesan tikaman di kediamannya di Kampung Cheh Hilir, Kati.
- Suami mangsa berada di rumah ketika kejadian dan mangsa sempat memberitahu kakinya dicucuk benda tajam dari bawah rumah.
- Pihak polis sedang menjalankan siasatan dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Taiping untuk bedah siasat.
Seorang suri rumah Orang Kurang Upaya (OKU) iaitu Nor Ainon Omar ditemui maut dengan kesan kecederaan dipercayai akibat ditikam di kediamannya di Kampung Cheh Hilir, Kati pada Rabu.
Mangsa ditemui terbaring dalam keadaan berlumuran darah di rumah kampung yang didiaminya bersama suami dan tiga anak.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Cheh Hilir, Nur Halim Abdul Hamid, dia menerima maklumat mengenai kejadian itu sebelum bergegas ke rumah mangsa kira-kira pukul 2 petang.
“Saya dimaklumkan suami mangsa meminta pertolongan penduduk yang bekerja sebagai penoreh getah di kawasan berhampiran sebelum individu berkenaan menghubungi saya.
“Saya kemudian datang ke rumah dan mendapati mangsa sudah tidak sedarkan diri. Suaminya memberitahu, isterinya sempat mengatakan kakinya dicucuk dengan benda tajam dari bahagian bawah rumah melalui celahan papan,” katanya.
Berkongsi lanjut, Nur Halim memaklumkan suami mangsa berada di rumah ketika kejadian dan sedang memasak sebelum terdengar isterinya meminta pertolongan.
Pada masa sama, seorang daripada tiga anak mangsa yang berusia 15 tahun tiada di rumah.
“Penduduk memujuk anak mangsa untuk pulang ke rumah sebelum dia dibawa berjumpa ibunya. Polis yang tiba kemudian turut menjalankan pemeriksaan dan soal siasat.
“Polis turut menemui sebilah pisau di kawasan kebun kelapa sawit selepas anak mangsa menunjukkan lokasi berkenaan,” katanya lagi.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Taiping untuk bedah siasat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Heisham Harun ketika dihubungi media memaklumkan pihaknya akan mengeluarkan maklumat lanjut berhubung kejadian selepas siasatan dijalankan.
Sumber: Sinar Harian