Khabar duka menyeliputi dunia kewartawanan apabila seorang lagi wartawan yang membuat laporan penderitaan Palestin disahkan meninggal dunia selepas ditembak di Bandaraya Gaza.
Wartawan Saleh Aljafarawi yang juga cukup terkenal sebagai pempengaruh syahid pada usia 28 tahun. Kematian Aljafarawi menjadikan beliau sebagai pengamal media terkini yang dibunuh Zionis dengan angka kematian melebihi 270 orang sejak Oktober 2023, lapor Al Jazeera.
Advertisement
Menerusi rakaman yang tersebar, tubuh Aljafarawi dengan jaket keselamatan bertanda 'press' dilihat di belakang sebuah trak. Video tersebut kemudian telah disahkan oleh agensi pengesahan Sanad milik Al Jazeera.

Menurut laporan sama, insiden pembunuhan berlaku ketika pertempuran tercetus antara pasukan keselamatan Palestin dan kumpulan bersenjata di kejiranan al-Sabra, kawasan yang musnah teruk akibat perang.
Sepanjang menjadi ‘suara’ pengamal media melaporkan konflik yang berlaku di Gaza, Aljafarawi cukup terkenal melalui video lapangannya yang merakam kesan peperangan.
Dia pernah menyatakan menerima pelbagai ancaman daripada pihak Israel berikutan laporan yang disiarkannya. Malah Aljafarawi dengan berani ‘mengkritik’ berita palsu kematiannya dengan membuat laporan sambil berbaring di atas katil hospital selepas terselamat daripada maut.