Sekilas
- Datuk Ziela Jalil menganggap pemergian Tun Dr. Hasmah Mohamad Ali sebagai kehilangan besar buat negara kerana jasa dan bakti beliau yang sangat dihargai rakyat Malaysia.
- Ziela berkongsi bahawa pertemuan terakhir mereka berlaku pada program ‘Celebrity Samd Table’ minggu lalu, di mana Tun Hasmah kelihatan sihat sebelum berita pemergian mengejutkan diterima.
- Allahyarhamah dikenali sebagai insan yang baik, lemah-lembut dan menjadi idola wanita, meninggal dunia pada usia 100 tahun di Institut Jantung Negara.
Pelakon, Datuk Ziela Jalil menyifatkan pemergian isteri Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu Tun Dr. Hasmah Mohamad Ali sebagai satu kehilangan yang sangat besar buat negara.
Menurut Ziela, jasa dan bakti Tun Hasmah yang begitu besar buat negara merupakan antara faktor Allahyarhamah begitu disayangi rakyat Malaysia.
“Apa yang saya boleh katakan ialah kita pemergian Allahyarhamah merupakan satu kehilangan yang sangat-sangat besar.
“Jasa dan bakti beliau sangat besar kepada negara. Ketika beliau menjadi isteri kepada Perdana Menteri semua orang boleh nampak betapa besarnya jasa beliau kepada negara.
“Tak ada perkataan yang saya nak gambarkan. Pastinya semua orang ada momen istimewa dengan Allahyarhamah,” katanya kepada Gempak.
Ziela berkongsi perkara tersebut ketika ditemui usai pengebumian Dr Hasmah di Pusara Negarawan, Presint 20, Putrajaya pada Isnin.
Berkongsi lanjut, pelakon drama Jodoh Itu Milik Kita ini tidak menyangka pertemuan mereka pada Isnin minggu lalu merupakan momen terakhirnya bersama Allahyarhamah.
Menurut Ziela, dia terkejut mendapat berita mengenai pemergian Tun Hasmah memandangkan Allahyarhamah Tun Hasmah pada ketika itu juga dalam keadaan yang baik sihat sebelum dia dikejutkan dengan berita pemergian Allahyarhamah pagi tadi.
“Sebenarnya kali terakhir saya jumpa Tun Hasmah pada hari Isnin minggu lalu menerusi program ‘Celebrity Samd Table’ yang dianjurkan oleh Erma Fatima dan Datin Paduka Umie Aida.
“Kita duduk semeja dan masa itu Alhamdulillah Tun sihat. Jadi, sesuatu yang mengejutkanlah pagi tadi bila dapat berita ini,” tambahnya.
Walau bagaimanapun, Ziela meluahkan rasa bertuah kerana dapat memberikan penghormatan terakhir buat Tun Hasmah.
“Alhamdulillah saya dan Che Puan Azrinaz dapat ziarah di rumah, dapat beri penghormatan yang terakhir pada Tun.
“Yang paling penting dapat solatkan jenazah beliau dan iring sampai ke tanah perkuburan, Alhamdulillah.
“Saya rasa puas kerana tengok, cium dan doakan beliau buat kali terakhir,” ujarnya.
Mengulas pula mengenai keperibadian Tun Hasmah, Ziela menyifatkan Allahyarhamah sebagai insan yang sangat baik dan lemah-lembut.
“Beliau seorang yang sangat-sangat hebat. Bila saya tengok jenazah tadi saya berkata kepada Allah bahawa beliau insan yang sangat hebat, sangat baik, sangat lemah-lembut.
“Beliau juga merupakan idola buat semua wanita-wanita di luar sanalah, terutamanya saya. Mudah-mudahan syurga Firdaus tempat istirahat Allahyarhamah,” katanya.
Terdahulu, Tun Dr Hasmah dilaporkan menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada jam 9.20 pagi Isnin.
Berita duka itu disahkan sendiri anak kepada Allahyarhamah iaitu Tan Sri Mokhzani Mahathir.
Dr Hasmah meninggalkan tujuh orang anak serta ahli keluarga yang lain.
Allahyarham merupakan antara tokoh wanita paling disegani di negara ini dan dikenali atas sumbangannya dalam bidang perubatan serta khidmat kemasyarakatan.