Sekilas
- Zila Bakarin mendedahkan anak sulungnya, Kaseh Azri, sering menjadi mangsa buli sejak sekolah rendah dan masih menghadapi isu tersebut hingga kini.
- Walaupun Zila mengajar anaknya untuk melawan pembuli, Kaseh memilih untuk tidak membalas dan hanya berkata dia okey.
- Zila turut berkongsi bahawa ramai anak artis menghadapi masalah buli sehingga ada yang terpaksa tukar sekolah atau belajar secara satu-satu.
Bintang Kilauan Emas Selebriti, Zila Bakarin tidak dapat menahan sebak selepas mendedahkan bahawa anak sulungnya, Kaseh Azri sering menjadi mangsa buli di sekolah.
Menurut Zila atau nama sebenarnya Rosmawati Bakarin, 51, perkara tersebut bukanlah perkara baharu kerana anaknya itu telah dibuli sejak berada di sekolah rendah.
Bagaimanapun kata Zila, demi menjaga emosi dan mental anaknya, dia tidak mahu berkongsi lanjut mengenai pengalaman tersebut memandangkan Kaseh masih lagi di bangku sekolah.
“Sampai sekarang anak saya masih berdepan dengan isu buli. Saya nak cakap lebih pun, anak saya masih sekolah dan ia akan memberi kesan kepada anak saya.
“Sebab itu banyak benda saya ‘zip’ mulut selagi anak saya tak habis sekolah. Banyak perkara sebenarnya saya nak huraikan, tulis, cakap dan luahkan tetapi terbatas sebab anak masih sekolah,” katanya kepada Gempak.
Zila berkata demikian ketika menghadiri sidang media Kilauan Emas Selebriti pada Selasa.
Berbeza dengan karakter anak kedua, Zila berkata Kaseh merupakan seorang yang lembut dan sangat beradab.
“Anak yang pertama itu dia seorang yang berhati lembut. Mungkin sebab saya selalu ajar anak saya beradab.
“Sampai hari ini, dia akan telefon dan pesan supaya saya tidak ketawa secara keterlaluan dan menjaga batas.
“Sepatutnya mak yang cakap begitu kepada anak tetapi anak saya yang pertama itu pula yang cakap pada saya. Dia sangat sayangkan orang tua,” ujarnya.
Dalam masa sama, Zila berkongsi bahawa meskipun dia sentiasa mendidik anak-anaknya untuk melindungi diri dan melawan semula pembuli, namun anaknya tetap tidak berbuat sedemikian.
“Sebab itu saya selalu cakap dengan anak saya yang belajar Muay Thai, jangan pegang. Kalau dia pegang, kau balas balik. Jangan bagi satu pun. Kena atas muka kau, balas balik.
“Lihat macam mana pembuli itu buat. Kalau dia lempang, kau lempang dia balik. Jika dia terajang, kau terajang dia balik. Kalau kau kena maki, kau maki dia balik. Jangan bagi orang pijak kau.
“Tapi anak saya bukan macam itu. Dia cuma cakap, ‘Tak apa Mama, saya okey’. Cumanya sayalah, bila dia cakap begitu, saya rasa macam, ‘Eh tak boleh ini, tak boleh terima’.
“Saya banyak jaga sebab saya selebriti. Saya rasa ramai anak-anak artis pun kena macam saya.
“Ada beberapa yang sampai berhenti sekolah, pergi sekolah swasta atau belajar secara satu dengan satu,” kongsinya.