Berita

Zur Eda Sedih Dituduh Guna Bomoh Untuk Jatuhkan Peserta GV 3

gempak
Kamaruddin Razal
21/11/2016
08:47 MYT
Sponsor Banner
Zur Eda Sedih Dituduh Guna Bomoh Untuk Jatuhkan Peserta GV 3
Bintang GegarVaganza 3 (GV 3), Zur Eda atau nama sebenarnya, Zuraida Mokhtar, 51, sedih apabila dirinya dituduh menggunakan bomoh untuk menjatuhkan bintang GV 3 yang lain.
Tersingkir di minggu suku akhir, Zur Eda mempersembahkan lagu Ah Rindu Lagi nyanyian asal Amelina.
“Sepanjang penglibatan saya dalam GV 3, saya boleh masih boleh lagi menelan segala kata-kata negatif netizen yang dilemparkan walaupun pahit untuk diterima. Namun begitu, terdapat satu tuduhan yang membuatkan saya sedih.
“Saya telah dituduh menggunakan bomoh untuk bertahan dan menjatuhkan bintang GV 3 yang lain. Bagi saya, tuduhan itu ekstrem dan membuatkan saya sedih. Tuduhan tersebut adalah satu fitnah.
“Fitnah tersebut merupakan perbuatan yang sangat keji. Tuduhan itu memberi impak besar kepada saya dan turut memberi kesan kepada keluarga dan anak-anak. Perkara tersebut merisaukan saya.
“Bila sesetengah pihak itu taksub kepada sesuatu, mereka akan membuat tuduhan yang merupakan fitnah. Dosa fitnah bukan dengan Tuhan, tetapi pihak yang menabur tuduhan itu sendiri harus meminta maaf kepada orang yang difitnahnya.
“Jika benar saya menggunakan bomoh, pastinya saya akan kekal sehingga ke minggu akhir GV 3 dan merangkul gelaran juara,” kata Zur Eda kepada Astro Gempak usai konsert suku akhir GV 3.
Dalam pada itu, Zur Eda turut berterima kasih kepada semua pihak yang menyokong dan memberikan kata-kata semangat sepanjang berlangsungnya GV 3.
“Alhamdulillah, rezeki saya sampai di konsert suku akhir sahaja. Saya mahu merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menyokong saya terutamanya kepada keluarga, teman-teman, peminat dan krew produksi.
“Terima kasih juga saya ucapkan kepada Astro kerana memberi peluang untuk saya menyerlahkan bakat menerusi GV 3 yang menjadi fenomena.
“Saya rasa sedih bukan kerana saya tersingkir, tetapi kesedihan saya itu lebih kepada rasa sebak untuk meninggalkan rakan-rakan artis lain dan krew produksi yang sudah saya anggap seperti keluarga sendiri.
“Insya-Allah, selepas ini saya tidak akan berhenti setakat ini dan saya bakal muncul dengan sebuah lagu baru,” katanya lagi.
GV 3 bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA pada setiap Ahad, pukul 9.00 malam serta boleh ditonton di Astro Ria (saluran 104) dan Astro Ria HD (saluran 123).
Konsert minggu separuh akhir GV 3 bakal menyaksikan bintang GV 3 menyanyikan dua buah lagu secara duet dan solo. Tujuh bintang masih kekal berentap untuk merebut gelaran juara.
Jika anda terlepas menonton konsert mingguan GV 3 atau ingin menonton secara 'live streaming', klik ---> GegarVaganza.
Teks oleh: Kamaruddin Razal Foto: Instagram @sharpshooter_photographer
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live