Big Stage 2020
Lari Daripada Kebiasaan, Usop Tampil Dengan Single Rancak Pencinta Setiamu
Setelah berjaya meraih tontonan sebanyak 18 dan 15 juta menerusi lagu Selamanya dan Aku Yang Bersalah di laman YouTube Rocketfuel Network, penyanyi muda berbakat besar yang berasal dari Kulim, Kedah, Muhammad Saiful Naim Muhammad Noor atau lebih dikenali dengan panggilan Usop kembali mengegarkan industri muzik tanah air sekali lagi dengan single terbaharu berjudul Pencinta Setiamu.
Hasil ciptaan komposer-komposer hebat seperti Aepul Roza, Argo, Sharul Kamal dan Daus SRK, lagu ini lari daripada kebiasaan lagu-lagu balada yang sering dinyanyikan oleh Usop.
Menurut bintang Big Stage 2020 ini, lagu Pencinta Setiamu menceritakan tentang seorang jejaka yang merasakan dialah yang paling tampan di kampungnya, dengan berbekalkan kemewahan dan senyuman yang menawan, dia berjaya menggoda beberapa gadis di kampungnya walaupun sudah mempunyai beberapa teman wanita lain.
Advertisement
"Saya anggap lagu ini fun dengan sedikit elemen yang gila-gila dan mempunyai unsur jenaka yang amat diperlukan tatkala kita berada di dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang getir dan adakalanya kita perlu berhibur untuk menceriakan suasana.
"Idea untuk lagu ini sebenarnya dicetuskan oleh Feros Sayna, Ketua Label Rocketfuel Entertainment yang merasakan saya perlu keluar dari zon selesa dan menonjolkan karakter sebenar saya yang lebih kelakar dan mencuit hati.
"Maka terhasillah Pencinta Setiamu dengan genre ska yang rancak bagi membangkitkan mood happy buat sesiapa yang mendengarnya," katanya.
Menurut Usop lagi, proses rakaman lagu Pencinta Setiamu yang memakan masa selama sebulan telah pun dilakukan sebelum PKP lagi.
"Setiap komposer yang terlibat dalam penghasilan lagu ini sangat profesional kerana mereka bijak menaikkan mood dan karakter saya yang agak pemalu agar lebih bebas dalam merakamkan lagu ini.
"Saya berharap agar single ini dapat diterima ramai dan menghiburkan semua peminat saya di luar sana dan pencinta muzik tanah air khususnya kerana kali ini saya tampil dengan genre yang lebih happy berbanding lagu-lagu saya yang
sebelumnya," katanya lagi.
Lagu Pencinta Setiamu boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengari melalui penstriman atas talian seperti Raku, Spotify, Joox dan Apple Music bermula 28 Ogos 2020.
Manakala video lirik dan muzik lagu ‘Pencinta Setiamu’ ini juga boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Entertainment pada hari yang sama.
Saksikan Usop dalam Big Stage 2020 dan undi peserta kegemaran secara online menerusi laman rasmi di www.gempak.com/bigstage serta menerusi aplikasi SYOK.
Juara Big Stage 2020 akan membawa pulang wang tunai RM100,000, tempat kedua dan ketiga bakal meraih RM50,000 dan RM25,000.
Bigstage 2020 bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 16 Ogos 2020, jam 9 malam di saluran Astro Ria HD (104) dan Astro Ria (124).
Big Stage 2020 ditaja oleh Adabi dengan kerjasama Kinohimitsu selaku penaja bersama.
Must-Watch Video