Big Stage 2020
#SandraDalamKenangan: Sedih, Pilu & Terkesan, Tribute Untuk Arwah Sandra Dianne Buat Ramai Berlinang Air Mata
Konsert Tribute #SandraDalamKenangan berlangsung dengan penuh sayu apabila ramai rakan seperjuangan Big Stage 2020 (BS2020) berkongsi momen-momen terakhir bersama arwah Sandra Dianne.
Malam tribute dimulakan dengan persembahan juri tetap Dayang Nurfaizah menerusi lagu Di Pintu Syurga.
Persembahan diteruskan dengan sedutan rakaman Allahyarham sepanjang berada dalam Big Stage dengan iringan lagu Kemarin yang dinyanyikan oleh salah seorang peserta program tersebut iaitu Qody Rani.
Selain persembahan nyanyian, malam mengenangkan arwah Sandra turut dipenuhi dengan perkongsian rakan-rakan seindustri antaranya Neeta Manis, Wani Kyrie dan Sufi Rashid.
Tiada tepukan sepanjang konsert berlangsung, suasana pilu menyelubungi dewan apabila klip video dan foto-foto Sandra dikongsi di skrin besar.
Dalam pada itu, Alif Satar dan Sherry Alhadad selaku pengacara sudah berjanji tidak akan menangis sepanjang konsert #SandraDalamKenangan akhirnya tewas apabila Neeta menyanyikan lagu terbaharu arwah Sandra yang berjudul Tulus.
Perkongsian kenangan terakhir bersama Allahyarham yang dianggap sahabat baiknya juga membuatkan Qody juga tidak mampu untuk menahan air matanya daripada mengalir.
Antara bintang lain yang membuat persembahan adalah Hafiz Zainal, Farisha Iris, Fahd Majid, Wany Kyrie, Yamani Abdillah, Sufi Rashid, Azam Sham, Usop dan Faizal Tahir.
Konsert Tribute #SandraDalamKenangan turut dihadiri juri tetap Faizal Tahir dan Ajai serta presiden netizen Elly Mazlein.
Pada Jumaat, Sandra Dianne telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada jam 1 pagi setelah lima hari bertarung nyawa akibat kemalangan.
Jenazah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kauluan jam 5.45 petang.