Big Stage 2023

#BIGSTAGE5: Netizen Kritik Kenapa Tak Taja Program Agama, Aeril Zafrel; "Amal Ibadah Kami Jarang Tunjuk"

gempak
Amri Hassan
10/05/2023
05:50 MYT
Sponsor Banner
#BIGSTAGE5: Netizen Kritik Kenapa Tak Taja Program Agama, Aeril Zafrel; "Amal Ibadah Kami Jarang Tunjuk"
Pengumuman pasangan selebriti terkenal Wawa Zainal dan Aeril Zafrel yang menaja program realiti Big Stage musim kelima menerusi jenama mereka Wawa Cosmetics dengan jumlah jutaan ringgit mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
Di aplikasi Tiktok, seorang pengguna akaun itu memberikan teguran suci kepada Wawa dan Aeril yang menyifatkan tindakan mereka silap.
"Bukan nak kritik. Tapi kalau gunakan duit tu taja program mengaji, dan hadiahkan pemenang naik haji itu adalah lebih afdhal, pahala pun mengalir," tulis pengguna akaun itu.

Tak tunjuk ibadah

Enggan melatah, Aeril, 35, berkata, keputusan menaja program itu antara lain untuk membantu 'reseller' mereka yang turut menjana pendapatan melalui jualan rangkaian produk Wawa Cosmetics.
"Pertamanya, saya dan isteri ingin berterima kasih atas teguran diberikan. Cuma, apa ingin saya katakan adalah segala amal kami, kami jarang tunjuk atau viralkan. Mungkin sebab itu kalian anggap kami tak pernah beramal.
"Kalau saya nak senaraikan satu persatu apa amal kebajikan yang kami buat, orang akan mengata pula. Apatah lagi kalau nak ditunjukkan di media sosial. Saya rasa perkara sebegini tak perlu diperdebatkan. Kita tidak ada kuasa untuk menentukan dosa dan pahala seseorang kalau kita sendiri tidak tahu niat di sebaliknya. Cukup-cukuplah menjatuhkan hukum pada orang lain.
"Paling penting, tujuan saya dan isteri menaja Big Stage adalah untuk membantu 'reseller' dalam menjana pendapatan. Kalau kami di pihak pejabat urusan (HQ) tidak mempromosikan produk, bagaimana masyarakat nak tahu. Menjadi penaja ini satu daripada strategi pemasaran kami," katanya.

Lahirkan usahawan jutawan

Menurut Aeril, sepanjang lebih lima tahun mengusahakan jenama itu, pihaknya sudah membantu ribuan peniaga keluar dari masalah kewangan dan kesempitan hidup.
"'Reseller' kami terdiri daripada peniaga kecil, ibu tunggal, suri rumah dan golongan pelajar pun ada. Semua mereka ini pada awalnya ingin mengubah nasib diri dan membantu menjana pendapatan keluarga.
"Bukan kami nak berlagak tapi Alhamdulillah, sudah ramai peniaga kecil yang dilahirkan hingga menjadi usahawan dan jutawan.
"Apa pun, terima kasih kepada semua yang sentiasa menyokong, setia dan ada bersama Wawa Cosmetics dari dulu hingga kini," katanya.
Sebelum ini, Aeril dan Wawa mengumumkan bakal membina sebuah masjid yang mampu memuatkan 700 orang jemaah di kampung halaman Aeril di Johor.
Pertandingan ‘Big Stage’ telah menobatkan empat juara sepanjang penganjurannya yang terdiri daripada Sarah Suhairi (2018), bintang Korea Selatan Hanbyul (2019), Azzam Sham (2020) dan Elica Paujin (2022).‘Big Stage 5’ yang dihoskan oleh Elly Mazlein dan Rina Nose akan berlangsung selama sepuluh (10) minggu dan bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam mulai 7 Mei, setiap Ahad, jam 9 malam secara eksklusif di Astro Ria (saluran 104).Untuk pilihan lebih fleksibel, ia boleh distrim melalui platform On Demand menerusi Astro Box dan aplikasi Astro GO.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live