Sekilas
- Rieffa, peserta Big Stage X Rocketfuel, diumumkan tersingkir pada minggu keempat selepas mendapat markah terendah iaitu 65 peratus.
- Walaupun terkilan, Rieffa reda dengan keputusan itu dan percaya rezeki sudah ditentukan, sambil berharap peluang lain akan datang seperti menghasilkan lagu sendiri.
- Rieffa memberikan komitmen penuh dengan membuat susunan muzik sendiri dan hampir rebah ketika pengumuman penyingkiran kerana kecewa tidak dapat memenuhi harapan keluarga.
Bintang Big Stage X Rocketfuel, Rieffa reda menjadi peserta ketiga yang diumum tersingkir daripada program berkenaan.
Dalam masa yang sama, Rieffa atau nama sebenarnya Muhamad Alif Abdullah mengakui berasa sedikit terkilan kerana sudah memberikan persembahan yang terbaik menerusi lagu Terakhir nyanyian asal Sufian Suhaimi.
Walau bagaimanapun, pemuda berusia 18 tahun ini menerima penyingkiran itu dengan hati yang terbuka kerana percaya setiap rezeki sudah pun ditentukan Allah SWT.
“Nak kata tak patut tersingkir itu tidaklah juga. Kalau Allah kata rezeki sampai sini, reda saja.
“Tak mematahkan semangat saya tapi agak terkilan sebab saya rasa dah boleh buat yang terbaik untuk minggu ini.
“Insya-Allah, di luar sana mungkin akan ada benda yang lebih baik seperti ada lagu sendiri,” katanya kepada Gempak.
Bercerita mengenai persembahannya, anak kepada pempengaruh Ayu Kepoh ini memaklumkan bahawa dia sudah memberikan komitmen sepenuhnya untuk persembahan minggu ini, termasuk berjaga malam bagi menghasilkan susunan muzik yang lebih segar.
“Secara peribadi, saya rasa dah buat yang terbaik sebab lagu itu saya banyak buat susunan sendiri.
“Saya sampai tak tidur malam untuk buat susunan lagi. Lagu Terakhir sebenarnya tak ada dram dan bass, tapi saya tambah sedikit.
“Saya sedar, saya masih muda dan banyak benda perlu dipelajari,” ujarnya.
Mengulas pula detik dirinya hampir rebah ketika pengumuman penyingkiran dibuat, Rieffa mengakui ketika itu dia terlalu kecewa kerana merasakan gagal memenuhi harapan keluarganya, terutama ibunya yang mengimpikan dia beraksi di pentas akhir.
“Ya saya hampir nak terjatuh, nasib ada abang-abang (peserta lain) yang sempat papah saya.
“Saya rasa lemah, rasa dah tak boleh buat apa-apa dah. Rasa macam dah menghampakan keluarga saya terutama mak saya yang nak sangat tengok saya masuk final.
“Bila saya tengok atas pentas terus nampak mak dan nenek saya, terus rasa nak jatuh macam nak pitam. Tapi nasib baik saya boleh kawal lagi,” katanya lagi.
Pada konsert minggu keempat, Rieffa tersingkir selepas memperoleh markah paling rendah iaitu sebanyak 65 peratus.
Rieffa turut mengundang sebak apabila dia dilihat menangis dan hampir rebah sebelum dipapah peserta lain di atas pentas.
Sepanjang lapan minggu pertandingan, para peserta bakal berentap dengan tiga pemenang utama bakal menerima Rocketfuel Artist Development Contract bernilai sehingga RM200,000 secara keseluruhan.
Seramai 10 peserta bakal bersaing pada musim ini terdiri daripada Sufie Rose, Qilo, Rieffa, Danny, Aliff Kimiey, Yad-z, Ranisha, Danial Kifli, Sabrina serta duo Adam & Nazmie.
Hadiah itu merangkumi penghasilan single dan video muzik, latihan vokal, pembangunan imej, sokongan pemasaran serta bimbingan kerjaya secara profesional.
Dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Azeva, jangan lupa untuk saksikan Big Stage X Rocketfuel setiap hari Ahad pada jam 9 malam di Astro Ria serta strim episod penuh menerusi Astro GO dan Sooka.