Big Stage S4
Tidak Pernah Show Off Harta & Kemewahan, Siti Nurhaliza: “Saya Tetap Siti Nurhaliza Yang…”
Hari itu, saat Datuk Seri Siti Nurhaliza muncul di muka pintu studio sesi fotografi yang dijanjikan bersama #GempakTheUntoldStory, ramah beliau menyapa sambil beberapa mengucapkan maaf atas kelewatannya.
Siti Aafiyah, permata perempuan sulungnya, enggan melepaskan beliau keluar bekerja.
“Maaf, kena layan Aafiyah menyusu. Dia begitulah, paling setia, kalau saya pulang lewat tengah malam atas urusan kerja, dia akan tunggu.
“Tak tidur, akan tidur bersama,” kata Siti sambil membuahkan senyuman manis yang selalu membuat khalayak ‘terbius’ melihatnya.
Perdana kali menjadi wajah #GempakTheUntoldStory dengan kisah terkininya, Siti yang baru menyambut ulang tahun ke 43 dan sudah 25 tahun menjadi penghibur paling berpengaruh bukan saja di Malaysia malah di Nusantara duduk berbicara mengenai peralihan fasa hidupnya.
Beliau mengaku, biar kerjaya tidak pernah dibelakangkan, kini keutamaan adalah buat keluarga. Malah, isteri usahawan Datuk Seri Khalid Muhammad Jiwa ini menyifatkan pandemik yang melanda dunia telah memberi banyak hikmah dalam kehidupannya.
Gempak: Bagaimana Datuk melihat perjalanan hidup pada tahun 2022 ini?
Siti: 2022 secara perlahan-lahan semua orang kembali menjalankan aktiviti setelah dua tahun pandemik. Kita dapat melihat bahawa setiap golongan yang bekerja sendiri, berniaga atau pekerja kerajaan dan swasta menjalankan rutin dengan menjaga pematuhan SOP.
Kerja seni juga kembali aktif dan ini memberi peluang yang baik untuk golongan artis dan pekerja industri kreatif berkarya dengan lebih baik. Saya merasakan bahawa peluang kepada saya sendiri juga semakin terbuka, selain meneruskan aktiviti seni biasa, permintaan seperti menjayakan program tv, persembahan makan malam serta endorsement juga semakin bertambah. 2022 juga, pastinya saya menginginkan single terbaharu atau album serta konsert, insyaAllah.
Gempak: Bagaimana pula pandemik telah mempengaruhi kehidupan Siti?
Siti: Pandemik tentunya mempengaruhi banyak perkara bukan sahaja kepada saya tetapi masyarakat dunia. Saya menganggap hikmah kepada saya dapat menghabiskan masa bersama-sama keluarga apatah lagi saya melahirkan Muhammad Afwa sewaktu pandemik. Ini juga membolehkan saya fokus kepada anak-anak.
Selain itu, pandemik mengajar saya menjadi seorang yang kreatif, baik dalam aktiviti seni dan perniagaan. Banyak hal saya lakukan dari rumah secara online dan saya lakukan sendiri. Alhamdulillah.
Gempak: Bersaing bukanlah perkara yang difikirkan selepas 25 tahun. Tetapi Siti mahu memastikan kekal relevan. Definisi relevan Siti adakah dari segi album, lagu masih dimainkan di corong radio, persembahan korporat masih ada atau bisnes semakin berkembang dan kukuh?
Siti: Walaupun ayatnya bukan lagi mahu bersaing dan tentunya dari dahulu saya sendiri tidak pernah menggunakan istilah persaingan kecuali dalam istilah atau makna yang sihat. Kita ada misi, semangat dan usaha untuk bekerja keras dan selalu mahu tampil dengan karya atau persembahan yang baik.
Seiring waktu dan usia, saya kira tanggungjawab sudah lebih luas, saya harus memberikan contoh, memberikan anjakan yang baik dalam apa jua yang saya lakukan, baik dari segi personal, kerjaya dan juga perniagaan yang saya bina. Perancangan yang baik, berterusan dan tersusun akan dapat menjadi tanda aras kepada setiap apa yang kita mahukan.
Gempak: Tidak mudah menjadi wanita yang bekerjaya. Bagaimana membahagikan antara peribadi dan karier, apalagi setelah memiliki dua cahayamata?
Siti: Ya, saya akui ini, lebih-lebih lagi dari soal membahagikan waktu setelah mempunyai dua anak. Saya juga harus memberikan keseimbangan antara waktu untuk keluarga, pekerjaan seni serta perniagaan. Pengurusan saya dan syarikat perniagaan saya akan mengaturkan jadual saya supaya saya masih ada waktu untuk anak-anak. Mungkin saya tidak dapat memenuhi sesetengah permintaan kerana pada waktu ini saya harus mengutamakan keluarga.
Gempak: Apakah booster Siti setiap kali berada lelah untuk berhadapan dengan khalayak?
Siti: Saya ikhlas dan suka apa yang saya lakukan. Ini secara tidak langsung akan menghilangkan semua penat lelah kerana setiap apa yang saya lakukan, saya bukan lakukan untuk saya seorang. Saya mahu menjadi insan yang bermanfaat kepada orang lain. Saya mengajak peminat-peminat saya menjadi usahawan dengan syarikat saya, saya masih membuat kerja-kerja amal dengan Yayasan Nurjiwa yang saya dan suami usahakan dan tentunya semua ini menjadikan saya lebih bersemangat dalam setiap apa yang saya lakukan.
Gempak: Menjadi pelaku seni selama 25 tahun, memiliki empayar perniagaan, punya aset atau memiliki jenama mewah bukan hal yang asing. Tetapi Siti adalah selebriti yang tidak pernah mempamerkan kemewahan hidup kepada umum. Bagaimana Siti dapat mempertahankan prinsip tidak show off dalam dunia media sosial hari ini?
Siti: Saya tetap Siti Nurhaliza yang kalian kenal. Suamilah yang membeli, memilih dan sebagainya kerana beliau lebih arif. Saya akan menghargai dan memakai apa yang disediakan dan pastinya sesekali untuk menghargai diri sendiri, saya akan membeli apa yang saya inginkan. Bagi saya, apa yang saya miliki hanyalah pinjaman dan ini semua milik Allah. Menjadi insan yang bersyukur dan berusaha mendapatkan apa yang kita inginkan itu sudah sangat menginspirasikan diri kita.
Gempak: Satu barang yang masih ada dalam simpanan Siti sejak mula menyanyi sehingga kini?
Siti: Saya sejenis yang menyimpan, apa yang saya ada dari dulu sampai sekarang, termasuk cincin permata yang arwah abah hadiahkan, tetap menjadi kenangan sampai bila-bila.
Gempak: Dunia berubah bersama teknologi. Cara peminat atau khalayak melontarkan pendapat atau kritikan juga tidak dapat dibendung. Bagaimana Siti menapis setiap kritikan supaya ia tidak membekas teruk di hati atau memberi rasa negatif?
Siti: Saya sudah lama menjadi kuat untuk setiap tohmahan. Slogan 'tak hidup dek puji dan tak mati dek keji' sudah lama menjadi kekuatan saya. Saya mungkin kuat dari segi menerima tetapi saya agak risau dari segi cara orang sekarang.
Saya sangat berharap agar kita sebagai masyarakat timur penuh adab, santun dengan budaya terpuji dapat dikekalkan. Biarlah setinggi mana pun teknologi hari ini tetapi kita harus sentiasa menjaga kata-kata dan membumi.
Gempak: Masalah gangguan kesihatan mental hari ini bukan isu baharu. Dengan tekanan kehidupan, tekanan di media sosial. Sebagai public figure adakah secara peribadi Siti pernah mengalami tekanan atau gejala seperti Anxiety demi memastikan kehendak peminat terpenuhi?
Siti: Saya memahami banyak keadaan menjadikan masalah kesihatan mental menekan kehidupan masyarakat hari ini, kita perlu memahami dan saling membantu.
Gempak: Mungkin boleh kongsikan tips atau nasihat buat mereka yang mengalami masalah kesihatan mental?
Siti: Saya juga berharap, setiap individu juga akan lebih terbuka dengan menceritakan permasalahan supaya ada golongan yang dapat menyelami, membantu dan mendengar. Dua-dua pihak saling membantu.
Gempak: Projek di tahun ini apa sahaja? Album baharu atau yang terdekat mungkin lagu Ramadan. Mungkin juga ada buah tangan istimewa sempena Aidilfitri?
Siti: Banyak yang diaturkan tetapi saya juga harus melihat mana yang perlu didahulukan. InsyaAllah akan dikerjakan satu persatu.
Gempak: Aafiyah anak bijak. Kepetahannya begitu mencuit hati. Sebagai seorang ibu apakah yang Siti harapkan dari anak sulung perempuan ini?
Siti: Saya juga gembira melihat perkembangan Aafiyah, semakin hari semakin banyak perkara baru yang Aafiyah lalui, jalani dan menjadi anak yang bijak. Harapan saya tentunya mahu Aafiyah membesar sebagai anak yang boleh berfikir baik buruk, menghormati orang serta menyesuaikan diri dengan persekitaran.
Gempak: Afwa juga semakin keletah. Mungkin pengalaman berbeza membesarkan anak perempuan dan lelaki. Apa yang paling mudah dan paling sukar memahami karakter anak lelaki?
Siti: Afwa lebih cool dan senang menjaganya, walaupun tidak banyak beza pada zaman bayi Aafiyah, anak lelaki tetap ada perbezaannya. Afwa hanya akan menangis atau merengek apabila mahu susu dan seorang yang mudah tersenyum, cepat gelak dan saya sifatkan 'peramah'.
Gempak: Bagaimana Siti melihat lima tahun tahun akan datang? Adakah kami akan masih terus memiliki Datuk Siti sebagai puspita hati dunia hiburan atau Datuk sudah berkembang subur dan fokus sebagai seorang usahawan?
Siti: Saya tidak boleh meramal hari depan tetapi saya tetap bersedia menghadapinya. Karya dan juga perniagaan bagi saya adalah sesuatu yang saya minat dan usahakan untuk masa depan. Jika saya tidak di depan layar, mungkin saya akan berada di belakang tabir seni, semuanya boleh sahaja terjadi. Saya juga berharap perniagaan saya bertahan dan terus maju.
Gempak: Maaf bertanya. Ramai pelaku seni di seluruh dunia pada akhirnya memilih terjun ke dunia politik selepas mempunyai pengaruh. Pernah terfikir terjun dalam kancah politik? Jika tidak, kenapa dan jika ya, mengapa?
Siti: Sejak dahulu pekerjaan saya sebagai artis dan juga usahawan. Saya membantu masyarakat dengan mengadakan kerja amal dan menubuhkan Yayasan Nurjiwa. Setiap orang ada cara masing-masing untuk memberi sumbangan dalam masyarakat.
Must-Watch Video