Skip to main content

Drama

Bila Penjenayah Terpaksa Tukar Identiti Jadi Wira… Demi Sebuah Rahsia, Episod Pertama ‘Bad Cop’ Dah Buat Penonton Rasa Berdebar

Bad Cop

Sekilas

  • Drama siri Astro Original 'Bad Cop' bermula dengan kisah Emir Khalid, penjenayah jalanan yang terpaksa mengambil alih identiti abang kembarnya, Inspektor Imar Khalid, selepas tragedi tembak-menembak.
  • Emir kini perlu menyesuaikan diri dengan kehidupan sebagai polis sambil melindungi keluarganya daripada dendam ketua sindiket dadah, Tony Redza.
  • Siri ini menampilkan Aiman Hakim dalam dua watak berbeza dan mengangkat isu sosial seperti penipuan identiti dan penderaan rumah tangga, mula ditayangkan 19 Disember 2025 di platform OnDemand, sooka, Astro Citra dan Astro Ria.

Saksikan permulaan kisah yang penuh kejutan dalam episod pertama drama siri Astro Original, ‘Bad Cop’, sebuah drama aksi penuh emosi dan konflik jiwa.

 

Episod pertama mengisahkan Emir Khalid hidup sebagai penjenayah jalanan yang licik, sentiasa berada di hujung tanduk dan tidak pernah lepas daripada buruan pihak berkuasa. 

 

Namun, segalanya berubah apabila satu urusan dadah bersama ketua sindiket paling kejam, Tony Redza (lakonan Tony Eusoff), bertukar menjadi tragedi berdarah. 

 

Dalam kekacauan tembak-menembak itu, Emir tidak menyangka dia akan bertembung dengan seseorang yang tidak pernah dijangka—kembar yang telah lama terpisah, Imar Khalid, seorang Inspektor Polis yang tegas dan berdedikasi.

 

Detik Tragis yang Menghantui

 

Perjumpaan yang singkat itu bertukar menjadi mimpi ngeri. Dalam usaha menyelamatkan Emir daripada ditembak, Imar terkena tembakan dan cedera parah. 

 

Menyedari ajalnya semakin hampir dan polis semakin mengerumuni lokasi, Imar tahu Emir akan ditangkap… atau mungkin dibunuh. 

 

Dengan sisa kudrat terakhir, Imar menyerahkan kad kuasa serta lencananya kepada Emir. Dia merayu agar Emir mengambil alih identitinya—bukan sahaja untuk menyelamatkan diri, tetapi untuk melindungi keluarganya daripada dendam Tony Redza yang pasti tidak berkesudahan.

 

Pertukaran Takdir

 

Episod pertama berakhir dengan sebuah kesedaran yang mengerikan—lahirlah premis ‘Bad Cop’. Emir, seorang penjenayah yang seumur hidupnya melarikan diri daripada polis, kini terpaksa melangkah masuk ke balai sebagai wira mereka. 

 

Dia perlu mempelajari sikap, personaliti dan kehidupan seorang abang yang sudah lama tidak ditemuinya. 

 

Lebih memilukan, Emir kini tinggal di rumah lelaki yang baru sahaja mati di hadapannya… sambil memikul rahsia yang mampu menghancurkan segala-galanya.

 

Astro Originals mempersembahkan siri premium terbaru, Bad Cop, adaptasi daripada siri jenayah popular Jerman 2017 yang juga diadaptasi di India pada 2024.

 

Siri ini menampilkan Aiman Hakim yang membawa dua watak berbeza serta membawakan isu sosial seperti penipuan identiti dan penderaan rumah tangga dalam format case-of-the-week.

 

Bad Cop mula ditayangkan pada 19 Disember 2025 di platform OnDemand, sooka, Astro Citra dan Astro Ria dengan arahan Jason Chong dan showrunner Kavivarmen Vigneswaran.

Must-Watch Video

Advertisement