Sekilas
- Program Kembara Reset Jiwa: Hidup Dengan Al-Quran dianjurkan oleh SINAR dan ZAYAN dengan kerjasama Fifty Seven Coffee dan W Kiswah Care, menarik lebih 300 peserta.
- Program ini bertujuan membantu masyarakat mendekati Al-Quran secara santai dan mudah difahami, serta mengamalkan mesejnya dalam kehidupan harian.
- Acara menampilkan perkongsian dari penyampai radio dan personaliti media sosial untuk memberi inspirasi dan meningkatkan kefahaman terhadap ajaran Islam secara relevan dengan gaya hidup masa kini.
SINAR dan ZAYAN dengan kerjasama Fifty Seven Coffee dan W Kiswah Care Semenyih Selangor telah menganjurkan program Kembara Reset Jiwa: Hidup Dengan Al-Quran, yang berlangsung dari jam 8.00 malam hingga 11.00 malam dengan kehadiran lebih 300 peserta baru-baru ini.
Program ini dianjurkan sebagai platform untuk membantu masyarakat mendekati Al-Quran dengan cara yang lebih santai, mudah difahami dan dekat dengan kehidupan seharian.
Ia turut menampilkan perkongsian istimewa daripada Penyampai ZAYAN Faizal Ismail dan Penyampai SINAR Falyq dan personaliti media sosial Hafizul Faiz, yang berkongsi pengalaman serta pandangan mengenai bagaimana Al-Quran boleh dijadikan panduan dalam kehidupan.
Menurut Pengurus Jenama SINAR dan ZAYAN, Zureen Affendi, program ini diwujudkan bagi memberi peluang kepada masyarakat untuk memahami Al-Quran bukan sekadar melalui bacaan, tetapi juga menghayati dan mengamalkan mesej yang terkandung di dalamnya.
"Ramai yang membaca Al-Quran, tetapi tidak semua tahu bagaimana untuk memahami dan mengamalkan mesej yang terkandung di dalamnya dalam kehidupan harian. Sebab itu kami menganjurkan Kembara Reset Jiwa: Hidup Dengan Al-Quran sebagai satu ruang untuk masyarakat mendekati Al-Quran dalam suasana yang santai, selesa dan penuh inspirasi.
“Kami percaya setiap orang mempunyai perjalanan yang berbeza dalam mendekati Al-Quran. Melalui program seperti ini, kami berharap peserta dapat memperoleh kefahaman yang lebih baik serta membina hubungan yang lebih rapat dengan Al-Quran, bukan hanya ketika membaca tetapi juga dalam kehidupan seharian.
“Alhamdulillah, kami amat bersyukur dengan sambutan yang diberikan apabila lebih 300 peserta hadir untuk bersama-sama mengikuti program ini. Ia menunjukkan bahawa masyarakat sentiasa mencari ruang dan peluang untuk menambah ilmu, memperbaiki diri dan mendekatkan hati kepada Allah SWT.
“Kami berharap program ini dapat memberi manfaat serta menjadi titik permulaan kepada perubahan yang lebih baik dalam kehidupan para peserta,”katanya.
Kembara Reset Jiwa: Hidup Dengan Al-Quran merupakan sebahagian daripada usaha berterusan SINAR dan ZAYAN dalam menyajikan kandungan serta aktiviti yang memberi inspirasi, nilai positif dan meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap ajaran Islam melalui pendekatan yang relevan dengan gaya hidup masa kini.