Covid-19
“29 Darjah Celsius Tu Sudah Suhu Mayat!” – Pakar Paru-Paru Persoal Cara Premis Perniagaan Periksa Suhu Badan Pelanggan
Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas dan kini PKP Bersyarat (PKPB), rakyat telah mengamalkan normal baharu dalam urusan kehidupan seharian.
Ini termasuklah wajib melepasi pemeriksaan suhu badan sekiranya ingin memasuki mana-mana premis perniagaan atau bangunan untuk sesuatu tujuan.
Bagaimanapun, baru-baru ini seorang Pakar Paru-Paru Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Helmy Haja Mydin mempersoalkan tentang cara pengendalian salah satu Prosedur Operasi Standard (SOP) tersebut dijalankan.
Dr Helmy menerusi satu ciapan di Twitternya baru-baru ini, memberitahu terkejut selepas melihat rekod suhu badan pelanggan di salah sebuah restoran yang dikunjunginya di Petaling Jaya.
Menurut Dr Helmy kerana kesemua suhu badan pelanggan yang datang ke restoran itu adalah di bawah suhu 36.0 darjah selsius iaitu 33.0, 32.0, 31.5, 33.5, dan paling rendah adalah 29 darjah selsius, sesuatu yang langsung tidak masuk akal!
Perkara tersebut menjadi kerisauan Dr Helmy kerana berkemungkinan pelanggan tidak disaring sebetulnya ini merupakan pesakit Covid-19 tanpa mereka sedari yang akhirnya menjangkiti orang lain.
“Suhu badan manusia normal adalah antara 36.0 darjah celsius sehingga 37.5 darjah celsius dan sekiranya melebihi suhu berkenaan seseorang itu dikira demam dan tidak boleh dibenarkan masuk ke dalam sesebuah premis.
“Kalau tengok catatan buku tersebut ada yang mempunyai suhu serendah 29 darjah celsius dan ia sangat tidak logik kerana itu sudah suhu tahap mayat.
“Suhu badan manusia walau di mana saja kita berada termasuklah di negara sejuk, akan tetap sama antara 36.0 darjah celsius sehingga 37.5 darjah celsius.
“Sekiranya ada yang mempunyai suhu bawah 36.0 darjah selsius adalah disebabkan mereka sakit seperti penyakit hypothermia tetapi tidaklah sampai serendah 29 darjah celsius.
“Perkara ini perlu diambil perhatian jitu kerana normal baharu yang menetapkan setiap individu diperiksa dahulu suhu badan sebelum masuk tidak akan berguna sekiranya tidak disaring sebetulnya.
“Bayangkan, pemilik restoran sudah bersedia lengkap mematuhi SOP ditetapkan tetapi disebabkan kesilapan bacaan suhu badan, kita bimbang ada kes demam berkait dengan Covid-19 terlepas masuk.
“Tak guna buat saringan suhu badan sekiranya peralatan yang digunakan tak jitu. Use the right equipment and check your thermometers - we don’t want false assurances! ” kata beliau dalam ciapannya di akaun @dochelmy.
Sumber: BERNAMA & Sinar Harian