Covid-19
“Apa Bukti Awak Tinggal Di Sana?” - Perintah Kawalan Pergerakan Fasa 2 Diperketat, Jangan Keluar Rumah Tanpa Dokumen!
Hari ini, 1 April 2020 kerajaan sudah menjalankan fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disamping memperbanyakkan sekatan.
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia berbeza daripada tahap namun masih membenarkan pergerakan dari segi kawalan masa.
Katanya, antara yang akan dilaksanakan adalah membabitkan premis perniagaan, restoran yang dibenarkan beroperasi dari 8 pagi sehingga 8 malam.
Semua Ketua Setiausaha di kementerian yang menyediakan perkhidmatan keperluan, perlu mengeluarkan surat kebenaran perjalanan kepada semua kakitangan yang bertugas, sepanjang tempoh PKP.
Sementara itu, menerusi sebuah video di MalaysiaGazette anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga semakin bertegas terhadap individu yang keluar dari rumah.
Menerusi video tersebut kelihatan anggota PDRM bertanya beberapa soalan kepada pemandu kereta dalam sebuah sekatan jalan raya.
Anggota tersebut meminta pemandu kereta menunjukkan dokumen sokongan untuk membuktikan dia penduduk di Damansara Perdana kerana alamat yang tertera di kad pengenalan berbeza.
“Tengok IC (kad pengenalan), alamat betul ke Damansara Perdana? Dekat IC alamat Jitra…apa bukti tinggal Damansara Perdana?
“Dokumen seperti bil elektrik atau bil air? Kenalah bawa dokumen, dah bagi tahu dah dalam TV dan media sebelum ini,” tegas pegawai terbabit.
Terdahulu, Ismail Sabri berkata timbul masalah di sekatan jalan raya apabila ada petugas (awam dan swasta) terpaksa berpatah balik ke rumah, kerana tiada bukti diarahkan bekerja.
Sumber: Bernama & MalaysiaGazette
Must-Watch Video