Covid-19
Awas Ibu Bapa Semua, Bahaya Pakaikan Pelitup Muka Untuk Kanak-Kanak Bawah 2 Tahun!
Fiza Kamarudin
28/07/2020
|
02:51 MYT
Penggunaan pelitup muka amat penting untuk pencegahan dan mengelak daripada berlakunya jangkitan.
Namun tahukah anda bahaya jika memakaikan pelitup muka kepada bayi dan kanak-kanak berusia bawah dua tahun?
Menurut laporan Public Health Malaysia pelitup muka bahaya kepada bayi dan kanak-kanak berusia bawah dua tahun kerana ia merisikokan nyawa dan kesihatan mereka.
Ini antara faktor pelitup muka tidak digalakkan kepada anak anda yang masih kecil:
#1 Jika terlalu ketat bayi boleh lemas.
Salur pernafasan bayi adalah kecil. Jika anda kurangkan kemasukan oksigen dengan memakaikan pelitup muka, bayi akan lemas. Ia juga boleh meningkatkan beban pada hati mereka selain megundang risiko strok haba kepada kumpulan tersebut.
#2 Jika terlalu longgar, bayi tidak mendapat apa perlindungan pun
Jika lihat pelitup muka jenis N95 pun, tiada pelitup muka yang direka dan diiktiraf selamat untuk kegunaan bayi dua tahun.
#3 Anak gelisah dan meraba-raba, rosak, membazir
Ini menggalakan lagi jangkitan dan penyebaran virus. Tambahan lagi apabila mereka meraba permukaan wajah sendiri kerana tidak selesa.
Jadi bagaimana nak lindungi anak kesayangan kita?
Yang terbaik adalah dengan melindungi bayi anda dengan tidak membawa mereka ke tempat awam yang sibuk dan sentiasa amalkan penjarakan sosial.
Terdahulu, media melaporkan Pakar Perunding Kanan Pediatrik, Datuk Dr Amar Singh, berkata, penggunaan pelitup separuh muka bagi kanak-kanak berumur bawah lima tahun sepanjang berada di dalam kelas adalah tidak digalakkkan kerana boleh mengundang risiko keselamatan.
Bekas Ketua Jabatan Pediatrik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh itu berkata, kanak-kanak pada peringkat usia tersebut, terutama yang percakapannya belum lancar atau mempunyai masalah kesihatan seperti asma, mungkin berdepan kesukaran jika memakai pelitup separuh muka untuk tempoh yang lama.
“Mereka ini mungkin boleh pakai untuk sementara sahaja.
“Kanak-kanak yang ada masalah kesihatan seperti asma atau sakit jantung kita tidak cadangkan pakai pelitup separuh muka untuk tempoh lama kerana bimbang mereka akan sesak nafas. Lebih membimbangkan kalau yang belum pandai bercakap (untuk beritahu masalah),” katanya.Dr Amar Singh mengulas peraturan beberapa tabika serta tadika yang mewajibkan semua murid memakai pelitup separuh muka sepanjang sesi pembelajaran apabila persekolahan bermula kembali Rabu ini selepas ditutup sejak 18 Mac susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.
Menurut Dr Amar Singh yang juga Penasihat Majlis Kebangsaan Intervensi Awal Kanak-Kanak (NECIC), bagi kanak-kanak yang boleh memahami dan mengikut arahan, pemakaian pelindung muka mungkin lebih sesuai.