Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Covid-19

Bekas Miss World Malaysia 2019 Dr Nisha Thayananthan Rupanya Frontliner Hospital Putrajaya

Fiza Kamarudin 15/04/2020 | 02:40 MYT
Dr Nisha Thayananthan yang pernah merangkul gelaran Miss World Malaysia 2019, turut membantu golongan memerlukan yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
Doktor perubatan dari Hospital Putrajaya itu memandu ke beberapa lokasi di Kuala Lumpur dan Seremban, negeri kelahirannya, untuk mengagihkan sumbangan seperti beras, minyak masak dan susu.
“Saya dididik dengan prinsip memberi adalah lebih baik daripada menerima, terutama kepada golongan kurang bernasib baik. Ibu bapa saya menjadi inspirasi.
"Saya sudah lama sertai misi kemanusiaan, sepanjang perjalanan ini, saya telah bertemu ramai orang susah, terutama semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.
Beliau yang juga petugas barisan hadapan di Hospital Putrajaya, berkata ramai orang yang memerlukan bantuan menghubunginya sejak pandemik COVID-19 global bermula.
“Selalunya saya guna duit sendiri untuk membantu mereka dan meluangkan masa dengan kerja amal,” kata Dr Nisha yang ibunya menguruskan rumah penjagaan orang tua serta pusat perlindungan haiwan terbiar di Petaling Jaya, Selangor.
“Semasa krisis ini, banyak pengorbanan dibuat oleh rakan-rakan saya demi menyelamatkan nyawa, bekerja siang dan malam selain terpaksa berjauhan dengan keluarga tersayang.
“Sebagai doktor, saya mahu semua orang berhati-hati dan duduk di rumah kerana kami sedang bertungkus lumus membasmi COVID-19,” katanya.
Mereka yang mahu menyumbang boleh menghubunginya melalui e-mel nisha@live.com.my.
Sumber: BERNAMA
#COVID-19 #Misss World Malaysia #Nisha Thayananthan
;