Covid-19
Cara Mudah Tunaikan Solat Aidilfitri Di Rumah, Semoga Bermanfaat Buat Semua!
Tahun ini, walaupun tidak dapat ke surau atau masjid untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri kita masih boleh melakukannya secara bersendirian atau berjemaah di rumah sahaja.
Untuk itu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ada berkongsi panduan sebagai rujukan dan memudahkan anda semua.
Seperti yang dinyatakan oleh JAIS, solat Hari Raya boleh dilakukan seperti berikut:
1. Secara Bersendirian
2. Berjemaah
3. Berjemaah dan disertakan bersama 2 khutbah
Berikut merupakan lafaz niat jika solat sunat Aidilfitri anda dilakukan;
1. Secara Bersendirian:
Sahaja aku (sembahyang / solat) sunat Aidil Fitri dua rakaat kerana Allah Ta’ala
2. Berjemaah (Imam/Makmum)
Sahaja aku (sembahyang / solat) sunat Aidil Fitri dua rakaat sebagai imam / makmum kerana Allah Ta’ala)
Setelah membaca niat, mulakan solat sunat Aidilfitri;
i. Rakaat Pertama Disertakan 7 Kali Takbir Dan Diselangi 6 Kali Tasbih
Untuk solat Hari Raya Aidilfitri, cara menunaikannya sama seperti menunaikan solat 5 waktu, bezanya ada penambahan 7 kali takbir yang diselangi 6 kali tasbih.
Mulakan dengan takbiratul ihram dan diikuti bacaan doa iftitah. Setelah selesai doa iftitah teruskan dengan bertakbir dan diselangi oleh tasbih.
Setelah itu, teruskan membaca Al-Fatihah diikuti apa-apa surah di dalam Al-Quran dan lakukan ruku’, sujud dan naik semula untuk rakaat kedua.
ii. Rakaat Kedua Disertakan 5 Kali Takbir Dan Diselangi 4 Kali Tasbih
Sama seperti rakaat pertama, mulakan dengan takbiratul qiam dan bertakbir sebanyak 5 kali yang diselangi 4 kali tasbih.
Menurut JAIS, teruskan solat dengan membaca Al-Fatihah diikuti apa-apa surah di dalam Al-Quran. Setelah itu lakukan ruku’, sujud dan diakhiri dengan salam.
Khutbah;
Kepada yang melakukan solat berjemaah digalakkan untuk membaca khutbah. Contoh teks khutbah raya boleh didapati di laman web JAIS.
Walaupun sambutan Aidilfitri tahun ini berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya, namun tidak bermakna ia tidak dapat diraikan dengan semangat yang sama.
Selamat Hari Raya Aidilfitri semua!
Must-Watch Video