Covid-19
"Dah Minta Izin Dengan Doktor Untuk Lihat Ayah Buat Kali Terakhir, Tapi .." – Sebak… Pesakit COVID-19 Ini Hanya Mampu Menangis!
Pesakit positif COVID-19, Nur Syahirah Idris menjelaskan keadaan dirinya semakin pulih selepas dimasukkan ke Hospital Besar Kuala Lumpur pada 20 Mac lalu.
Syahirah atau lebih mesra disapa Syira merupakan anak kepada mangsa ketujuh yang meninggal dunia, Allahyarham Idris Atan pada 21 Mac.
"Alhamdulillah keadaan saya makin baik. Sebelum doktor benarkan untuk pulang ke rumah, saya perlu jalani tiga kali ujian.
"Sebenarnya saya tak ada simptom tetapi disuruh untuk membuat saringan disebabkan ayah positif. Jadi semua yang berada di rumah diwajibkan untuk melakukan.
"Saya buat ujian pada 18 Mac dan dimasukkan ke hospital pada 20 Mac. Selain saya dan ayah, kakak saya yang bekerja sebagai jururawat turut dijangkiti," katanya ketika dihubungi Gempak.
Menceritakan situasi ketika di hospital, Syira menyatakan dia tidak dibenarkan untuk meninggalkan ruangan bilik dan hanya boleh bergerak ke tandas.
"Saya tidak dibenarkan untuk keluar langsung dari bilik, hanya boleh keluar masuk tandas. Bayangkan hidup dengan diri sendiri dan katil saja.
"Saya berada di tahap yang tidak teruk jadi pihak hospital hanya akan monitor dari masa ke semasa. Disebabkan belum ada ubat lagi, saya disuruh untuk berehat," katanya lagi.
Dalam pada itu, Syira akui berasa sedih kerana tidak dapat menatap wajah arwah ayahnya buat kali terakhir.
"Saya dapat berita mengenai pemergian ayah daripada doktor sendiri. Mula-mula doktor hubungi saya beritahu ayah dah tenat.
"Masa tu dalam fikiran saya dah kosong. Hanya fikir macam mana ingin beritahu kepada ibu, keluarga dan kawan-kawan ayah. Selang beberapa jam, doktor cakap ayah dah meninggal.
"Saya dah minta izin dengan doktor untuk lihat ayah buat kali terakhir tapi tetap tidak dibenarkan.
"Sedih memang sedih tapi apa boleh buat saya dah cuba. Menangis je la saya mampu. Ibu saya yang berada di rumah pun tidak diberi peluang.
"Walaubagaimanapun, saya bersyukur kerana dapat sokongan daripada sahabat handai. Ada yang saya tidak kenal turut memberi kata-kata semangat," kata Syira.
Di samping itu, Syira turut mengingatkan kepada semua pihak supaya mentaati perintah kerajaan untuk berada di rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Tolong dengar arahan kerajaan kerana kes COVID-19 makin meningkat. Perkara ini tidak boleh dipandang remeh.
"Jangan cuba-cuba untuk dedahkan diri kepada wabak. Tinggal saja di rumah.
"Sebenarnya sakit bila kita terpaksa hidup berseorangan tanpa keluarga. Kena tinggal di hospital tanpa mengetahui tempoh berapa lama," katanya sebelum mengakhiri perbualan.
Terdahulu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, mulai Rabu (18 Mac) hingga 14 April 2020, di seluruh negara.
Malaysia terpaksa akur selepas kes COVID-19 kini mencecah 2,031 orang dengan 24 rekod kematian.
Pastikan anda selalu mencuci tangan, pakai topeng muka, gunakan 'sanitizer', kurangkan aktiviti di luar rumah serta lakukan perkara yang boleh mencegah COVID-19!
Must-Watch Video