Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Donald Trump Lantik CEO WWE Vince McMahon, Sebagai Penasihat Pulihkan Ekonomi Amerika Syarikat

Fiza Kamarudin
17/04/2020 00:00 MYT
Presiden Amerikat Syarikat Donald Trump melantik Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), World Wrestling Entertainment (WWE), Vince McMahon sebagai salah seorang penasihat dalam Great American Economic Revival Industry Group.

Business Insider US melaporkan, penasihat itu merangkumi individu dari sektor perbankan, peruncitan, sukan, teknologi dan ahli fikir.

Rumah Putih dalam kenyataan berkata, kumpulan itu akan bekerjasama untuk merencana masa depan bagi mengembalikan kegemilangan AS.

Selain McMahon, Trump turut melantik beberapa individu dari segmen sukan seperti CEO Liberty Media, John Malone; pemilik kelab bola sepak Amerika, New England Patriots, Bob Kraft dan pemilik pasukan bola keranjang Dallas Mavericks, Mark Cuban.

Selain individu dari bidang sukan, kumpulan berkenaan turut disertai usahawan seperti CEO McDonald’s, Chris Kempczinski; CEO 3M (Mike Roman); CEO Tesla (Elon Musk); CEO Coca-Cola (James Quincey); CEO Amazon (Jeff Bezos); CEO Apple (Tim Cook) dan CEO Facebook (Mark Zuckerberg).
Great American Economic Revival Industry Group disertai individu berpengaruh dari pelbagai latar belakang yang akan memberi nasihat dan pandangan mengenai tindakan yang boleh dibuat dalam usaha AS membuka semula ekonominya beberapa bulan akan datang.

Selasa lalu, Trump menyatakan kepentingan mengembalikan sukan dalam kehidupan seharian selepas negara berkenaan dilanda pandemik Covid-19.

“Saya bosan menonton perlawanan besbol yang berlaku 14 tahun lalu,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas WWE dibenarkan meneruskan rakaman secara langsung tanpa kehadiran pengunjung di Orlando kerana ia dikategorikan di bawah perniagaan penting.

Sumber: metro.co.uk

#Donald Trump #COVID-19 #Vince McMahon WWE
;