Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Covid-19

Hospital Shah Alam Siasat Dakwaan Shahir Dihalang Masuk Berjumpa Doktor

Fiza Kamarudin 13/04/2020 | 14:24 MYT
Pihak pengurusan Hospital Shah Alam memandang serius tentang isu tular penyanyi Shahir Zawawi yang mendakwa dirinya dihalang bertemu doktor baru-baru ini.

Menerusi sebuah kenyataan, Hospital Shah Alam mengambil maklum tentang aduan yang dikemukakan oleh Shahir mengenai layanan petugas di Jabatan Kecemasan dan Trauma.

Dimaklumkan pihak hospital sedang menjalankan siasatan terperinci untuk mengenalpasti punca masalah dan seterusnya mengambil maklum beberapa perkara yang dirasakan wajar bagi menambahbaik mutu perkhidmatan di hospital.

Pihak pengurusan turut memohon Shahir untuk berhubung dengan Unit Perhubungan Awam Hospital Shah Alam di talian 03-5526 3000 bagi tujuan siasatan lanjut.

Orang ramai juga diminta untuk tidak membuat andaian dan memberikan ruang supaya siasatan dapat dijalankan secara baik dan menyeluruh.

Pihak Pengurusan Hospital Shah Alam maklum dan mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan orang awam terhadap isu ini dan memberikan jaminan siasatan akan dijalankan.

Shahir beberapa hari lalu telah meluahkan rasa kesalnya terhadap segelintir petugas di sebuah hospital di Shah Alam yang enggan melayannya untuk berjumpa doktor.

Jelas Shahir, dia terpaksa menggagahkan diri untuk ke hospital pada jam 2 pagi untuk berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan kerana sudah mengalami demam selama dua hari.

"Kalau bukan kecemasan saya takkan datang. Saya nak minta KKM berrtanggungjawab sebab diarahkan balik dan perlu ke klinik kesihatan pagi esok.

"Sepanjang perjalanan saya hampir muntah, nak pitam dan hampir kemalangan. Saya datang sebab saya betul-betul sakit sebab itu saya datang.

"Kalau demam itukan simptom Covid-19, saya duduk sendirian kalau apa-apa jadi saya tak sedarkan diri siapa yang tolong?" katanya menerusi sepotong video yang dimuat naik di Instagram.

[VIDEO] 3 Hari Demam, Shahir Dihalang Jumpa Doktor... "Saya Ke Hospital Pukul 2 Pagi Sampai Hampir Kemalangan Tapi ..."

#Shahir Zawawi #KKM #Hospital Shah Alam
;