Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

“Ibu bapa Boleh Bawa Anak-Anak Keluar Beriadah Ke Taman Permainan Tapi Pusat Membeli Belah…” – Ismail Sabri

Fiza Kamarudin
17/06/2020 09:12 MYT
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ibu bapa sudah boleh membawa anak-anak keluar beriadah ke taman permainan.

Bagaimanapun katanya, kelonggaran itu diberikan dengan syarat perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Sekarang ini sudah boleh, tiada larangan untuk kanak-kanak beriadah lagi. Taman-taman permainan sudah mula dibuka. Anak-anak sudah boleh keluar sudah boleh keluar, cuma janganlah berhimpun beramai-ramai di kawasan riadah tersebut.

"Kita sudah katakan, kena ada penjarakan sosial, tidak berhimpit-himpit dan sebagainya. Jadi walaupun taman permainan dibuka tetapi SOPnya perlu dipatuhi," katanya dalam sidang media di sini pada Rabu.

Ibu bapa bagaimanapun katanya tidak digalakkan membawa kanak-kanak ke kompleks membeli-belah memandangkan mereka merupakan kumpulan berisiko tinggi dijangkiti COVID-19.

"Begitu juga dengan kompleks beli-belah, tiada tegahan yang tidak benarkan kanak-kanak pergi untuk membeli barangan bersama ibu bapa dan sebagainya.

“Cuma saya sentiasa ingatkan jangan bawa anak-anak sebab kanak-kanak merupakan golongan yang berisiko tinggi.

"Jadi ibu bapa perlu jaga kepentingan anak-anak walaupun tiada hukuman untuk mereka yang bawa anak-anak.

“Ia tidak diwartakan iaitu anak tidak boleh dibawa keluar ke restoran, tempat beli-belah. Namun sebab kanak-kanak berisiko tinggi, maka kita galakkan kanak-kanak tidak dibawa bersama. itu sahaja," jelasnya.

Justeru, beliau berharap golongan ibu bapa agar memastikan keselamatan anak-anak mereka jika tetap mahu membawa anak mereka keluar ke tempat riadah atau pusat beli belah.

"Sudah lama kita benarkan mereka melihat dunia, cuma ibu bapa kena pastikan jaga anak-anak mereka supaya terhindar daripada jangkitan COVID-19," tambah beliau.

#Ismail Sabri #PKPP #Kanak-Kanak Boleh Keluar