Covid-19
Izzue Islam & Fizz Fairuz #FizzueCare Beri Bantuan Kepada Frontliner, Sempat Jumpa Ashraf Muslim
Pelakon dan penyanyi Izzue Islam bersama Datuk Fizz Fairuz bergabung membentuk #FizzueCare untuk membantu menghulurkan sumbangan kepada yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
Baru-baru ini Fizz dan Izzue masing-masing memuat naik posting di Instagram (IG) mengenai sumbangan dihulurkan #FizzueCare kepada para petugas barisan hadapan.
Fizz telah memuat naik perkongsian ketika menghantar sumbangan berbentuk barangan keperluan harian ke Hospital Kusta Sungai Buloh yang menjadi penempatan pesakit COVID-19.
Sementara Izzue memberikan sumbangan berbentuk makanan dan minuman kepada anggota pertahanan yang bertugas sepanjang COVID-19.
Tidak berdua, Izzue dan Fizz itu yang turut dibantu beberapa syarikat lain seperti Fam Night, Baarz Enterprise dan Jakie Enterprise.
“Alhamdulilah, rezeki Allah dari #FIZZUECAREXFAMNIGHT. Terima kasih Dr Azlin PKKN bantu saya uruskan bantuan hari ini.
“Terima kasih kepada semua staff Hospital Kusta Sungai Buloh kerana terima sumbangan kami. Harap dapat membantu serba sedikit.
“Kami akan terus membantu, hingga putusnya COVID-19,” tulisnya di ruangan kapsyen pada salah satu postingnya di Instagram.
Sementara itu, pelakon Ashraf Muslim yang sedang menjalani rawatan di hospital terbabit turut mengucapkan terima kasih kepada sahabat-sahabatnya itu kerana sudi menghulurkan bantuan.
Dalam pada itu Ashraf turut meluahkan rasa gembiranya kerana dapat bertemu sahabat-sahabatnya itu, walaupun seketika.
“Walaupun sahabat saya datang sekejap je tapi cukup untuk saya mengubat hati yang rindu pada kawan-kawan.
“Terima kasih Dato’ Fizz Fairuz, Izzue Islam, Fam Night, Baarz Enterprise dan Jakie Enterprise serta mereka yg menyumbang secara tidak langsung untuk kami di sini iaitu di Pusat Kawalan Kusta Negara (Pesakit Covid).
“Alhamdulillah bro…Teruskan usaha ni…Kami di sini mendoakan semua dimurahkan rezeki dan diberkati dengan usaha ini. Terima kasih kawan-kawan. Doakan saya negative (COVID-19) yer,” katanya.