Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Covid-19

Kalau Dulu ‘Kelik Laa Weii’, Tapi Sebab PKP Tukar Jadi ‘Jange Kelik Laa Weii’ – Lagu Raya Versi Kelantan Curi Perhatian Pendengar!

Fiza Kamarudin 08/05/2020 | 01:28 MYT
Kira kira empat tahun lalu, lagu raya bercorak kenegerian dari Kelantan berjudul “Kelik Laa Weii” ciptaan komposer Eddie Hamid pernah mencuri perhatian.
Ketika itu, lagu yang dinyanyikan dua penyanyi dari Kelantan, Aris Kapilla dan Man Khan menjadi siulan menggamit perantau dari Pantai Timur di seluruh pelusuk negara dan dunia pulang ke kampung halaman untuk beraya.
Bagaimanapun tahun ini, seiring dengan saranan kerajaan melarang larangan pergerakan orang ramai merentas negeri untuk menyambut Aidilfitri, Eddie Hamid, Man Khan dan Aris Kapilla menjadikan naskhah lagu asal itu dalam versi “Jange Kelik Laa Weii” pula.
“Sebenarnya sebelum kita berdepan dengan ujian getir ini, saya pernah terfikir nak hasilkan dalam versi Jange Kelik La Weii sekiranya lagu asal mendapat sambutan tapi tak tahu bila nak realisasikannya.
“Tak sangka 2020, tanpa diduga kita berdepan dengan ujian ini hingga dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan seterusnya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Rakyat tidak dibenarkan untuk merentas negeri bagi sambutan Aidilfitri seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru baru ini.
“Jadi kira kira dua minggu lalu saya, Man dan Aris merasakan ini masa yang sesuai untuk melancarkan lagu Jange Kelik La Weii sekaligus menyahut seruan kerajaan.
“Man dan Aris turut bergabung dengan Zulkiffli M Ali dari sudut penulisan lirik” kata Eddie.
Menurut Eddie, jika lagu asal lebih berusaha untuk memujuk anak rantau pulang beraya ke kampung, namun versi kali ini menjadi sebaliknya.
“Sesuatu yang kita mungkin rasa pelik dan janggal, jika beraya tanpa pulang ke kampung halaman. Namun semuanya untuk kebaikan bersama dalam memutuskan rantaian virus jahat itu.
“Lagipun tahun ini saja kita berkorban. Tahun-tahun sebelum ini kita sudah terbiasa dengan suasana atau rutin pulang beraya. Kita perlu akur dengan situasi semasa. InsyaAllah raya tahun mendatang akan kembali seperti sediakala.
“Jadi lagu raya kali ini ditujukan khas buat semua perantau yang tak dapat pulang beraya. Andai kata pulang beraya ke kampung dibenarkan kemudian, mungkin judul lagu itu perlu bertukar menjadi Boleh Kelik Laa Weii,” seloroh Eddie lagi.
Video muzik lagu ‘Jange Kelik Laa Weii’ sudah pun dilancarkan di saluran YouTube Nova Music sejak 2 Mei lalu dan telah mencatat lebih 30, 000 tontonan dalam masa hanya beberapa hari.
Manakala versi penstriman di semua platform digital bakal dilancar pada hari ini (8 Mei).
#Lagu raya #PKPB #Jange Kelik Laa Weii
;