Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Kawasan Rumah Dipasang Kawat Duri, Man Risau Penempatan Bertukar Zon Merah

Fiza Kamarudin
20/04/2020 03:30 MYT
Pelawak Man mendakwa telah menerima beberapa keping foto daripada seorang temannya menerusi aplikasi Whatsapp yang menunjukkan kawasan perumahan mereka telah dipasang kawat duri.

Berdasarkan foto dikongsi Man, kelihatan beberapa kawasan dipercayai di Selayang telah diletakkan kawat besi bersama beberapa anggota tentera yang sedang berkawal.

“Pepagi lagi dapat Whatsapp dari member yang duduk kawasan yang sama dia hantar gambar abang-abang askar turun area rumah kitaorang dengan pagar dawai macam kat Masjid India.

“Bermakna area kami dah kena REDZONE. Doakan kami di sini kawan-kawan. Semoga segalanya berjalan lancar dan dipermudahkan. Amin,” tulisnya pada ruangan kapsyen.

Menerusi perkongsian itu jelas menggambarkan perasaan Man yang bimbang mengenai situasi tersebut.

Sementara itu di ruangan komen, rata-rata pengikut mendoakan agar Man dan penduduk kawasan sekitar dilindungi daripada wabak COVID-19.

Mereka turut menasihatkan Man supaya duduk di rumah dan segala urusan dipermudahkan.

Bagaimanapun setakat ini masih belum ada laporan mengenai kawasan perumahan di sekitar Selayang diisytihar zon merah atau dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

#Man Raja Lawak #COVID-19 #PKP