Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Covid-19

"Kerajaan Mahu Melindungi Kesihatan Umat Islam .." - Arab Saudi Minta Tangguh Persiapan Haji & Umrah

Zulaikha Yusof 01/04/2020 | 04:57 MYT
Arab Saudi meminta umat Islam untuk menangguhkan sebarang rancangan untuk menunaikan haji dan umrah sebelum sebarang perkembangan mengenai COVID-19 diketahui.
Menteri Haji dan Umrah, Mohammed Saleh Benten berkata tindakan tersebut dilakukan kerana ingin melindungi kesihatan umat Islam serta rakyat.
"Arab Saudi bersedia sepenuhnya untuk menerima jemaah haji dan umrah.
"Tetapi keadaan semasa ketika kita bercakap mengenai pandemik global, kerajaan mahu melindungi kesihatan umat Islam serta rakyat.
"Oleh itu, kita meminta umat Islam di semua negara untuk menunggu sebelum melakukan haji sehingga keadaannya jelas," katanya kepada stesen televisyen Al-Ekhbariya.
Selain menangguhkan haji dan umrah, Arab Saudi juga menghentikan semua penerbangan antarabangsa dan menyekat masuk dan serta keluar pergerakan ke beberapa bandar raya, termasuk Mekah dan Madinah.
Pada awal bulan lepas, Arab Saudi menghentikan kemasukan jemaah haji atau umrah untuk sepanjang tahun ekoran kebimbangan terhadap penularan COVID-19 ke bandar-bandar suci Islam.
Ia satu langkah yang julung kali terjadi, sekali gus menimbulkan ketidakpastian berhubung ibadat haji untuk tahun ini.
Pembatalan musim haji tidak pernah berlaku sebelum ini, namun langkah mengehadkan kehadiran dari kawasan berisiko tinggi pernah dilaksana ketika wabak Ebola menyerang wilayah itu.
Kira-kira 2.5 juta jemaah haji dari seluruh dunia biasanya berkumpul di Mekah dan Madinah untuk ibadat yang dijadualkan bermula pada akhir bulan Julai.
Haji ialah sumber pendapatan yang besar bagi kerajaan Arab Saudi.
Sumber: Astro Awani
#Umrah #Haji #Arab Saudi
;