Covid-19
Murid Tahun Dua Positif COVID-19, Ibu Bapa Mula Risau
Ibu bapa mula meluahkan rasa bimbang selepas berita mengenai seorang pelajar sekolah rendah disahkan positif COVID-19.
Petang tadi, media melaporkan pelajar tersebut merupakan murid tahun dua di sebuah daerah di Inanam, Kota Kinabalu, Sabah.
Walaupun kes tersebut bukan berlaku di semenanjung, ibu bapa mula berkongsi rasa bimbang tentang keselamatan anak masing-masing yang sudah mula dihantar ke sekolah.
Sementara itu Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Christina Rundi berkata, kesemua kontak rapat pelajar itu telah pun diarahkan untuk menjalani kuarantin selama 14 hari.
Jelasnya, mereka yang diarah kuarantin termasuk rakan sekelas, keluarga pesakit dan kontak terlibat di sekolah berkenaan.
Terdahulu, murid terbabit telah dikesan dijangkiti virus berkenaan selepas mendapatkan rawatan di sebuah klinik kesihatan.
Sehubungan itu, 37 rakan sekelas murid tersebut, ibu bapa dan lapan orang guru dikenal pasti sebagai kontak rapat kepada pesakit terbabit.
Jelas Christina, pihaknya dalam pada itu mengingatkan ibu bapa supaya tidak menghantar anak-anak mereka yang mempunyai gejala demam, batuk atau selesema ke sekolah.
Ini untuk mengelakkan insiden yang menjurus kepada suspek COVID-19.
Tambahnya lagi, para petugas sekolah turut diminta supaya melaksanakan konsep penjarakan sosial di kalangan murid-murid selain menggunakan pelitup muka dan kerap mencuci tangan dengan cecair pembasmi kuman.