Covid-19
Nak Cakap Sikit: Jangan Syok Sangat…PKPP Belum Raya!
Hari ini, 10 Jun 2020 merupakan hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dijalankan selepas pengumuman dibuat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ahad lalu.
Ni nak cakap sikit, walaupun dalam PKPP lebih banyak kelonggaran diberikan untuk menjalani kehidupan seharian, tapi itu tidak bermakna kita semua dah ‘raya’ atau menang dalam perjuangan menentang pandemik COVID-19 ini.
Hari ini sudah ramai yang mula bergerak balik kampung selepas perjalanan rentas negeri dibenarkan... Jalan raya, lebuhraya pun dah nampak pertambahan kenderaan.
Mestilah, dah tiga bulan tak jumpa mak dan abah di kampung kan? Tapi dalam pada kita teruja tu, beringatlahlah sama ya.
Begitu juga dengan yang sudah mula mengunjungi pusat-pusat membeli belah dan tempat-tempat awam, patuhilah Prosidur Operasi Standard (SOP) ditetapkan kerajaan.
Jangan lalai kerana virus ini masih berada dalam komuniti kita. Tak mahulah kerana ‘over excited’ sambut ‘raya’ hari ni, kita tarik balik senyum para frontliners yang baru bersorak selepas tiga bulan berkorban masa dan nyawa.
Tapi…jangan pula terlalu negatif dengan PKPP ini kerana sudah masanya kita merima dan menjalani kehidupan normal baharu.
Nak pergi gunting rambut, pasar terbuka, pasar pagi, pasar malam, pasar tamu, bazaria, medan selera, pusat penjaja, food truck dan gerai makan pun dah boleh, tapi kalau tak patuh SOP kompaun masih dikenakan ya…Ingat tu, jangan cakap penulis tak pesan!
Dalam apa yang kita lakukan seharian bermula hari ini sehingga 31 Ogos (tamat PKPP) nanti, jalani kehidupan ‘cara baru’ dan jika diaplikasi dengan baik kita boleh menang! Kita mampu lawan COVID-19, pokok pangkalnya kenalah ada usaha sikit.
Kekalkan penjarakan sosial kerana ia perlu dijadikan sebagai satu normal baharu dalam kehidupan selepas ini bagi terus mengekang penularan COVID-19!
Kita boleh menang!