Covid-19
Oh! Ini Rupanya Maksud ‘R Naught’ Yang Sering Disebut Dr Hisham Dalam Sidang Media
Susuk figura Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah sering dinantikan oleh rakyat Malaysia untuk mengetahui perkembangan terbaru COVID-19 dalam negara.
Jika anda perasan, ada ayat yang sering disebut oleh beliau iaitu ‘R naught’.
Jadi apakah maksud R naught yang ditekankan oleh Dr Noor Hisham?
Menerusi Facebook rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memberikan penjelasan mengenai maksud ungkapan tersebut.
“Kalau ada yang kurang jelas, R0 (R naught) adalah merujuk kepada kebolehjangkitan sesuatu virus pada permulaan sesuatu wabak di dalam masyarakat.
“Ia merujuk kepada keberjangkitan, iaitu secara puratanya berapa ramai orang yang boleh dijangkiti oleh virus yang dibawa oleh kes dalam wabak tersebut.
“Misalnya, jika nilai R adalah 4, ini bermakna bahawa setiap seorang kes positif jangkitan virus boleh menyebarkan penyakit ini kepada 4 orang yang lain.
“Apabila wabak merebak, nilai R pada sela masa t1, t2, t3 (dan seterusnya) boleh menurun sekiranya langkah-langkah pencegahan yang tepat dijalankan secara berterusan di dalam masyarakat.
“Begitu juga, nilai ini boleh menaik semula sekiranya masyarakat alpa dan langkah pencegahan tidak diendahkan.
“Menurunkan nilai R ke kurang daripada 1 secara berterusan, akan membantu mengakhiri sesuatu wabak,” jelas posting berkenaan.
Jadi kita sebagai rakyat Malaysia haruslah mematuhi dan memberi kerjasama untuk melawan penularan COVID-19.
Duduk rumah jika tiada apa-apa urusan penting dan jaga kebersihan diri.
Must-Watch Video