Covid-19
Pesakit Covid-19 Disaran Tidak Lakukan Hubungan Seks 30 Hari Selepas Sembuh, Ini Nasihat Pakar...
Individu yang dijangkiti wabak Covid-19 disarankan untuk tidak melakukan sebarang bentuk hubungan seksual selama 30 hari selepas pulih.
Menurut laporan portal Daily Star UK, saranan itu dibuat selepas satu kajian mendapati virus tersebut dikesan di dalam sampel air mani seorang pesakit.
Pakar Jabatan Kawalan Penyakit Thailand, Veerawat Manosutthi turut menasihati pesakit yang telah pulih untuk menggunakan kondom selepas pulih 30 hari jika mereka mahu melakukan hubungan seksual.
Beliau turut memetik laporan kajian di China yang mendakwa cecair sperma boleh menjadi pembawa virus berkenaan selain memberi amaran kepada orang yang pernah dijangkiti untuk tidak melakukan hubungan seks termasuk bercumbu.
Sebelum ini, sekumpulan saintis di China yang menjalankan ujian ke atas 38 pesakit Covid mendapati virus tersebut masih wujud di dalam air mani pesakit yang telah sembuh.
Kajian tersebut dilakukan kepada 15 pesakit yang masih mendapatkan rawatan di hospital manakala, 23 daripadanya sudah pulih.
Bagaimanapun, hasil kajian tersebut mendapati, enam pesakit yang pernah menghidap Sars-Cov-2 yang menjadi punca kepada koronavirus mempunyai virus tersebut dalam air mani mereka.
Pasukan penyelidik turut meramalkan virus tersebut boleh hidup lebih lama daripada jangkaan asal selain boleh disebarkan melalui hubungan seksual.
Sumber: Daily Star UK