Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Covid-19

PKPB, Elakkan Diri Dari Jadi Kluster ‘Shopping Raya’!

Fiza Kamarudin 02/05/2020 | 14:33 MYT
Bermula Isnin ini Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dilaksanakan dan menerusi pemerhatian mendapati beberapa pihak sudah mula teruja untuk membuka premis masing-masing.
Ada di antaranya sudah mula menyebarkan di media sosial dan menghantar 'peringatan' menerusi Sistem Pesanan Ringkas (SMS) mengenai pembukaan premis mereka.
Bagaimanapun, perkara ini tidak boleh dipandang ringan kerana PKPB bukan bermakna kemenangan kerana kita semua masih belum bebas dari pandemik COVID-19.
Sehubungan itu, Public Health Malaysia (PHM) menerusi laman sosial Facebook mereka (FB) meninggalkan mesej khidmat masyarakat kepada semua untuk mencegah kluster ‘shopping raya’.
Menerusi posting tersebut PHM menasihati orang ramai supaya memilih beli belah secara online dan tidak bersesak di pusat membeli belah.
PHM turut berpesan agar sebarang karnival membeli belah tidak diadakan. Perkongsian tersebut telah mendapat lebih 10,000 reaksi warganet, 1200 komen dan 8300 share sehingga jam 10 malam, Sabtu.
Sementara itu menerusi laporan Harian Metro, Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Pakar Epidemiologi, Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof Dr Noran Naqiah Hairi berkata PKPB bermula Isnin ini perlu dilaksanakan secara beransur-ansur, bukan dilakukan secara mendadak, selaras saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Menurutnya, apa dimaksudkan secara berperingkat-peringkat itu termasuk sektor demi sektor serta melihat kepada zon hijau, kuning dan merah berkaitan penularan Covid-19.
Beliau berkata, keputusan memberikan kelonggaran hampir 100 peratus kepada sektor ekonomi dan membenarkan orang bersukan contohnya berjoging atau bermain badminton serta keluar makan di restoran secara serentak dalam satu masa amat membimbangkan sekali.
"WHO menekankan berkali-kali kepentingan exit-strategy secara beransur-ansur atau apa yang sering diperkatakan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah sebagai soft-landing.
"Mengapa? Virus SARS-Cov- 2 yang menyebabkan penyakit Covid 19 ini amat bijak sekali. Dalam tempoh beberapa bulan ini, kita pelajari terdapat asymptomatic transmission/infection dan pre-symptomatic transmission yang boleh berlaku.
"Disebabkan ini seseorang dijangkiti akan berasa sihat, tidak menunjukkan apa-apa gejala penyakit. Padahal pada masa ini dia boleh menjangkiti orang lain," katanya.
Beliau berkata, ada juga kes dilaporkan bahawa seseorang yang dijangkiti Covid-19 boleh menjangkiti orang lain dua hingga tiga hari sebelum simptom kepada dirinya bermula.
Tidak mustahil, katanya, apabila ramai orang keluar serentak termasuk pekerja atau orang yang keluar bersukan itu adalah dalam kalangan individu positif Covid-19 namun asymptomaticdan pre-symptomatic.
"Bayangkan sekiranya ini berlaku di tempat yang mempunyai ketumpatan populasi yang tinggi contohnya Selangor dan Kuala Lumpur.
"Ia amat membimbangkan sekali. Penularan wabak Covid-19 ini boleh menjadi tidak terkawal.
"Memandangkan PKPB sudah diumumkan, semua individu seluruh negara perlu mengamalkan disiplin yang tinggi," katanya.
Sebagaimana sejak awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperkenalkan 18 Mac lalu, beliau menasihatkan jangan keluar rumah sekiranya tiada tujuan penting.
Menurutnya, setiap individu berperanan memerangi penularan Covid-19 termasuk mencegah 'kluster shopping raya'.
"Janganlah bersesak-sesak lagi pasar raya. Tidak perlu makan beramai-ramai di luar, beli bungkus dan makan di rumah.
"Amalkan PKP sendiri. Tidak perlulah galak membeli-belah seperti sebelum berlakunya pandemik ini.
"Senaman masih boleh dibuat di dalam rumah. Beli-belah boleh di atas talian. Bagi yang keluar bekerja, amalan disiplin tinggi amat penting sekali," katanya sambil berpesan teruskan amalan normal baharu seperti penjarakan sosial dan kerap mencuci tangan.
#PKP #PKPB #Kluster Shopping Raya
;