Covid-19
“Salute! Kru Jaga SOP, Siap Pakai Sarung Tangan…” – Raja Azura Puji Produksi Mingguan Wanita
Pelakon dan pengacara Raja Azura memuji kru produksi Mingguan Wanita kerana sentiasa mengutamakan Prosidur Operasi Standard (SOP) sepanjang penggambaran dijalankan.
Raja Azura yang juga pengacara bagi program ‘Mingguan Wanita’ yang disiarkan secara langsung di Astro Prima (saluran 105/125) telah memulakan rakaman sejak 2 Jun lalu.
Katanya, dia tidak takut untuk menjalani penggambaran selepas melihat pihak produksi program bual bicara tersebut yang sangat menitik beratkan SOP dan menjaga kesihatan, keselamatan serta kebajikan setiap orang di set.
“Mereka amat menitikberatkan aspek kesihatan sepanjang tempoh rakaman untuk memastikan keselamatan semua warga yang terlibat.
“Siap pakai sarung tangan tau. Jadi saya pun tak risau tidak risau untuk menyambung program kami,” katanya.
Dalam pada itu, Raja Azura atau Kak Engku turut menasihati syarikat produksi agar menggunakan kesempatan yang diberikan kerajaan untuk membenarkan aktivtiti penggambaran sebaiknya.
“Nasihat saya, jangan langgar protokol kesihatan dan keselamatan yang sudah ditetapkan. Kebersihan diri dan kelengkapan perlu dijaga.
“Jangan pandang ringan tentang penjarakan sosial dan ambil tahu status lokasi penggambaran hendak dijalankan.
“Contohnya, kalau lokasi tu zon merah janganlah adakan penggambaran di sana,” katanya yang turut merindui bidang penyiaran radio ini.
Dalam perkembangan lain, Raja Azura baru sahaja diumumkan sebagai pemenang ‘Anugerah Jenama Yang Dipercayai’ anjuran majalah antarabangsa Reader’s Digest bagi tahun 2020 bagi kategori Personaliti.
Sekali lagi Raja Azura diundi oleh peminat di Malaysia sebagai Penyampai Radio Paling Dipercayai.
Selain Raja Azura, penyanyi, pelakon dan pengacara Alif Satar pula menjuarai kategori Penyampai Televisyen untuk Berita & Ehwal Semasa Paling Dipercayai, mengambil tempat Henry Golding yang memenangi kategori yang sama tahun lepas.
Selain Raja Azura dan Alif Satar, personaliti tempatan, Adibah Noor turut memenangi kategori Penyampai Hiburan/Serba Boleh Paling Dipercayai manakala bekas pemain badminton negara, Datuk Lee Chong Wei terus kekal sebagai Personaliti Sukan Paling Dipercayai.